PUTRAJAYA, 18 November 2026 (The Capital Post) – Kabinet meluluskan penubuhan Suruhanjaya Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-China sebagai platform kerjasama dua hala yang akan dilaksanakan setiap tahun bagi memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif itu membuka ruang lebih luas untuk kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi serta menjadi langkah penting ke arah pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.
Beliau berkata, persetujuan penubuhan suruhanjaya berkenaan telah ditandatangani dan mesyuarat sulungnya dijadual berlangsung di China pada tahun hadapan.
Menurutnya, mesyuarat pertama yang pada asalnya dirancang berlangsung tahun ini terpaksa ditangguhkan bagi memberi ruang kepada Malaysia menyelesaikan beberapa urusan berkaitan.
“Ini merupakan langkah ke hadapan dalam pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya) 2026 di sini, hari ini.
Mengulas penganjuran festival itu, Zambry berkata acara bertaraf antarabangsa yang memasuki tahun ketiga tersebut berjaya meletakkan Malaysia sebagai antara pusat rujukan utama dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata, festival berkenaan turut disertai menteri dari beberapa negara termasuk Uzbekistan, Filipina, Indonesia dan Kazakhstan.
-Advertisement-
Selain itu, perbincangan berkaitan penyelidikan turut melibatkan lapan negara menerusi The University Network for Research Cooperation (iUNRC).
Menurut beliau, festival itu turut menjadi platform untuk membentuk budaya pemikiran baharu dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, bagi melahirkan idea yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa kini dan akan datang.
FOI 2026 merupakan kesinambungan penganjuran festival pada 2024 dan 2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Inisiatif itu bertujuan merakyatkan idea dan pendidikan tinggi serta mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau serta global.
Festival berkenaan menghimpunkan pemimpin pemikir, pakar, pembuat dasar, ahli akademik, pemain industri dan masyarakat umum untuk berkongsi pandangan serta membincangkan idea inovatif dan penyelesaian terhadap cabaran semasa yang dihadapi Malaysia dan dunia. – The Capital Post