RM6.8 Juta Untuk Bina Semula Boardwalk Teluk Cempedak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN, 20 November 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperuntukkan RM6.8 juta bagi Projek Pembinaan Semula Boardwalk Teluk Cempedak, Pahang, dalam usaha meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengunjung di destinasi pelancongan popular itu.

Projek berkenaan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Rolling Plan 1 (RP1) 2026, melibatkan pembinaan semula dan penaiktarafan laluan pejalan kaki sepanjang 1.2 kilometer.

Menurut hantaran Facebook rasmi MOTAC pada Jumaat, projek itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian memperkukuh infrastruktur pelancongan negara serta meningkatkan daya tarikan Teluk Cempedak.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Chua Choon Hwa, turut mengadakan lawatan ke lokasi projek bagi meninjau perancangan pembangunan infrastruktur berkenaan.

Antara skop utama projek ialah pembinaan struktur konkrit baharu, platform lantai dan susur tangan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna laluan tersebut.

Projek itu turut merangkumi penyediaan wakaf berbumbung yang dilengkapi tempat duduk, selain pembinaan tangga akses ke kawasan pantai dan trek bukit.

-Advertisement-

Kemudahan lain termasuk kerja elektrikal, pemasangan sistem pencahayaan serta penyediaan fasiliti mesra Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan kawasan rekreasi itu lebih mudah diakses oleh pelbagai golongan pengunjung.

MOTAC memaklumkan pembangunan semula berkenaan dijangka menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih selamat, selesa dan mesra pengunjung, sekali gus meningkatkan daya tarikan Teluk Cempedak sebagai antara destinasi pelancongan utama di Pahang.

Selain meningkatkan pengalaman pelancong, projek tersebut turut bertujuan menyokong pembangunan pelancongan mampan, pemeliharaan alam semula jadi serta merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.

Kementerian itu menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh infrastruktur pelancongan berkualiti bagi menyokong pertumbuhan industri pelancongan negara yang inklusif, mampan dan berdaya saing.– The Capital Post