PUTRAJAYA, 20 November 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh pengurusan kewangan dan ketelusan pelaporan menerusi pelaksanaan sistem perakaunan akruan yang selaras dengan piawaian perakaunan sektor awam.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Ainah Mohd Soon, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Perakaunan Akruan (JPPAK) Bilangan 2 Tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Perkasa, Kompleks Setia Perkasa, pada Khamis (19 November).
Menurut hantaran Facebook rasmi KDN, mesyuarat yang diadakan dua kali setahun itu bertujuan memantau status pelaksanaan perakaunan akruan serta menyelaras tindakan penambahbaikan dalam pengurusan kewangan kementerian.
Mesyuarat berkenaan turut memberi penekanan kepada usaha memastikan Penyata Kewangan KDN disediakan secara tepat dan telus mengikut piawaian perakaunan sektor awam yang ditetapkan.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah pembentangan status pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pejabat Perakaunan serta analisis Penyata Kewangan KDN sehingga 31 Oktober 2026.
-Advertisement-
Perbincangan turut merangkumi status semasa perakaunan aset, program pemantapan pengetahuan dan latihan berkaitan perakaunan akruan dalam kalangan pegawai kementerian.
Selain itu, wakil bahagian, jabatan dan agensi KDN turut berkongsi maklumat mengenai isu, keperluan serta cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan sistem perakaunan berkenaan.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Setiausaha Bahagian, Ketua Jabatan dan Agensi serta pegawai kanan KDN bagi menyelaras pelaksanaan perakaunan akruan di peringkat kementerian.– The Capital Post