KUALA LUMPUR, 23 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Pelaksanaan cukai minimum global serta perkembangan pesat industri pusat data menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, termasuk persoalan berkaitan kutipan cukai, daya saing syarikat tempatan dan kelestarian bekalan air negara.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan menerusi laman rasmi Parlimen, Lim Guan Eng (PH-Bagan) dijadual mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Kewangan mengenai jumlah kutipan cukai minimum global sejak pelaksanaannya pada 2025.
Beliau turut meminta penjelasan sama ada kadar cukai bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan diturunkan kepada 15 peratus bagi memastikan layanan percukaian lebih seimbang antara syarikat tempatan dengan syarikat antarabangsa.
Sementara itu, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) ingin mendapatkan maklumat daripada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai pendekatan kerajaan dalam memastikan perkembangan industri pusat data tidak menjejaskan keupayaan bekalan air negara.
Dalam perkembangan sama, Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) dijadual mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Manusia berhubung tahap pematuhan majikan terhadap pelaksanaan Dasar Gaji Minimum RM1,700.
-Advertisement-
Beliau juga mahu mengetahui tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap perniagaan mikro di kawasan luar bandar yang berdepan peningkatan kos operasi susulan pelaksanaan dasar berkenaan.
Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat dijadual diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat jawatankuasa.
Mengikut takwim Parlimen, perbahasan peringkat tersebut dijangka berlangsung sehingga 26 November ini, dengan baki 16 kementerian perlu menyelesaikan perbahasan dan penggulungan bagi portfolio masing-masing. – The Capital Post