2,134 Calon SPM Pahang Berisiko Terjejas Akibat Banjir

Estimate Reading Time: < 1 minute

MARAN, 23 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Seramai 2,134 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Pahang dikenal pasti berisiko terjejas akibat banjir, dengan daerah Kuantan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 697 calon.

Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Ahmad Zamri Md Isa berkata, jumlah berkenaan melibatkan 1,000 calon lelaki dan 1,134 calon perempuan berdasarkan pemantauan menerusi sistem dalam talian Dashboard Ops Payung yang dibangunkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.

Beliau berkata, JPN Pahang telah mengaktifkan mekanisme tindak balas bersepadu bersama agensi keselamatan dan kesihatan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan calon dan petugas peperiksaan sentiasa terpelihara.

Menurutnya, sebanyak 65 kelompok pusat peperiksaan turut diwujudkan di seluruh negeri bagi memudahkan penyelarasan dan kawalan sekiranya berlaku banjir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Maran di Kampung Berkat, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Selain Kuantan, Temerloh mencatatkan seramai 418 calon berisiko, diikuti Maran dengan 246 calon, Lipis (175), Jerantut (135), Pekan (114), Rompin (107), Bentong (90), Bera (73), Raub (43) dan Cameron Highlands (36).

Ahmad Zamri berkata, persediaan JPN Pahang turut merangkumi langkah menghadapi bencana dan situasi kecemasan lain menerusi beberapa operasi khusus.

Antaranya ialah Operasi Topeng bagi menghadapi jerebu, Operasi Gempa untuk menangani kejadian bencana alam seperti gempa bumi serta Operasi Wabak bagi menguruskan penularan penyakit berjangkit.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan calon yang terlibat atau terkesan akibat bencana supaya segera memaklumkan keadaan masing-masing kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPN agar tindakan sewajarnya dapat diambil. – The Capital Post