Ekonomi MADANI Pacu Pertumbuhan

Estimate Reading Time: 4 minutes

KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Ekonomi Malaysia berada pada landasan pertumbuhan yang tepat hasil pelaksanaan pelbagai agenda dan strategi di bawah kerangka Ekonomi MADANI, namun kesan usaha penstrukturan semula ekonomi negara dijangka lebih menyeluruh dalam jangka panjang.

Impak berkenaan khususnya melibatkan peningkatan produktiviti, nilai ditambah domestik serta kesejahteraan rakyat.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata prestasi ekonomi negara kekal konsisten, disokong asas ekonomi yang kukuh serta persekitaran perniagaan yang semakin baik.

Menurutnya, penambahbaikan kecekapan kerajaan, tadbir urus dan ekosistem perniagaan turut menyumbang kepada peningkatan daya saing Malaysia, sekali gus mencerminkan keyakinan lebih baik terhadap persekitaran ekonomi negara.

BUDI95 SEBAGAI MEKANISME PENGAGIHAN SUBSIDI

Mengulas kecekapan perbelanjaan kerajaan, Muhammad Ridhuan berkata kerajaan berusaha menggunakan sumber secara berkesan, termasuk memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan sasar.

Beliau berkata pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) juga mempunyai implikasi dasar terhadap penilaian petunjuk kesejahteraan ekonomi, termasuk kuasa beli dan kos sara hidup.

“Pada saya sebagai ahli ekonomi, kerajaan telah berusaha untuk tidak mengabaikan kesaksamaan manfaat subsidi.

“BUDI95 menjadi lebih kritikal apabila kita mengintegrasikannya dengan keupayaan kerajaan menjana hasil dan kedudukan fiskal negara,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, usaha kerajaan dari perspektif ekonomi sektor awam boleh dinilai menerusi tiga aspek utama, iaitu meningkatkan kecekapan perbelanjaan, memperkukuh kemampanan fiskal serta memelihara kesejahteraan dan kuasa beli rakyat.

Katanya, kerajaan perlu meneruskan konsolidasi fiskal melalui rasionalisasi perbelanjaan dan pengembangan kapasiti ekonomi negara.

“Rasionalisasi subsidi diperlukan untuk menangani tekanan fiskal dalam jangka pendek. Namun, dalam jangka panjang, kemampanan fiskal sangat bergantung kepada struktur pertumbuhan ekonomi, nilai ditambah domestik, keuntungan firma dan pendapatan pekerja,” katanya ketika mengulas pencapaian empat tahun Kerajaan MADANI.

PELABURAN CERMIN KEYAKINAN TERHADAP EKONOMI

Data menunjukkan pelaburan diluluskan meningkat kepada RM426.7 bilion pada 2025 berbanding RM264.6 bilion pada 2022, manakala pelaburan digital yang diluluskan bagi tempoh 2022 hingga 2025 berjumlah RM376.7 bilion.

Antara pelaburan teknologi bernilai tinggi yang disenaraikan termasuk Infineon bernilai US$10 bilion, Intel (US$7 bilion), Amazon Web Services (AWS) (US$6.2 bilion), Microsoft (US$2.2 bilion) dan Google (US$2 bilion).

Dalam sektor pembuatan, industri elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang lebih 43 peratus daripada jumlah eksport negara. Malaysia turut menguasai 13 peratus pasaran global bagi aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor (ATP), selain menduduki tempat keenam sebagai pengeksport semikonduktor terbesar dunia.

Muhammad Ridhuan berkata perkembangan itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem dan persekitaran perniagaan negara. Bagaimanapun, pelaburan fizikal lazimnya memerlukan tempoh antara satu hingga tiga tahun sebelum kesan limpahannya dapat dirasai dengan lebih meluas dalam ekonomi domestik.

“Dalam jangka pendek, perkembangan ekonomi turut dapat dilihat menerusi peningkatan eksport negara,” katanya.

Dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dan memperluas hubungan ekonomi antarabangsa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut giat mempromosikan potensi Malaysia melalui lawatan rasmi serta pertemuan dengan pemimpin dan pemain industri luar negara.

Antara inisiatif berkenaan ialah pengukuhan hubungan Malaysia dengan Uzbekistan, khususnya dalam sektor tenaga, petrokimia dan teknologi hijau.

Ketika lawatan rasmi Anwar ke negara itu pada Mei 2024, kedua-dua negara bersetuju meneroka peluang kerjasama dalam sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau.

-Advertisement-

Uzbekistan turut menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), khususnya dalam projek methanol-to-olefins (MTO), pengeluaran hidrogen hijau dan ammonia hijau. Kerjasama itu turut merangkumi potensi sumbangan Petronas dalam latihan tenaga kerja sektor minyak dan gas negara berkenaan.

Kerjasama tenaga juga menjadi antara agenda hubungan Malaysia-Rusia apabila Anwar mengadakan lawatan kerja ke Kazan pada Jun 2026.

Rusia memberi jaminan bekalan petrol, minyak dan gas kepada Malaysia untuk jangka panjang, dengan persiapan ke arah perjanjian bekalan berbilang tahun bagi memastikan keterjaminan tenaga negara.

Bagaimanapun, usaha menarik pelaburan dan memperluas kerjasama antarabangsa perlu disokong peningkatan daya saing negara, terutama dari segi produktiviti dan keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global.

Malaysia menyasarkan untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang 2030. Negara kini menduduki tempat ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026, meningkat daripada kedudukan ke-23 pada tahun lepas dan tempat ke-32 empat tahun lalu.

PERTUMBUHAN EKSPORT PERLU DISOKONG NILAI DITAMBAH DOMESTIK

Berdasarkan data perdagangan, nilai eksport Malaysia meningkat daripada RM1.5 trilion pada 2024 kepada RM1.6 trilion pada 2025, manakala bagi tempoh Januari hingga September 2026, nilainya mencecah RM1.8 trilion.

Bagaimanapun, Muhammad Ridhuan berpandangan penilaian prestasi eksport perlu turut mengambil kira sumbangan eksport domestik, kapasiti pengeluaran serta nilai ditambah yang dihasilkan syarikat tempatan.

“Dari perspektif organisasi industri, saya perlu melihat sama ada peningkatan eksport ini turut disokong oleh peningkatan kapasiti pengeluaran domestik, kecekapan syarikat dan nilai ditambah.

“Jika pertumbuhan eksport lebih pantas berbanding peningkatan produktiviti domestik, kita perlu meneliti struktur industri, khususnya kedudukan firma tempatan dalam rantaian nilai global serta hubungan antara syarikat multinasional dengan pembekal domestik,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan eksport juga perlu dinilai berdasarkan komposisinya, termasuk sumbangan eksport semula dan permintaan global terhadap produk E&E.

Justeru, dasar perdagangan dan industri perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan eksport domestik, selain memastikan pertumbuhan perdagangan antarabangsa menghasilkan limpahan ekonomi lebih besar kepada syarikat tempatan.

PRODUKTIVITI DAN PENDAPATAN PEKERJA PENENTU PERTUMBUHAN JANGKA PANJANG

Muhammad Ridhuan berkata peningkatan produktiviti memerlukan usaha jangka panjang yang merangkumi penerapan teknologi, pendigitalan, inovasi, pembangunan kemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta peningkatan keupayaan syarikat menghasilkan produk bernilai tambah lebih tinggi.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan pelaburan baharu bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran, malah memperkukuh keupayaan teknologi dan penyertaan industri tempatan dalam rantaian bekalan global.

Mengulas hubungan antara produktiviti dengan pendapatan pekerja, beliau berkata data Bank Negara Malaysia menunjukkan produktiviti buruh meningkat sebanyak sembilan peratus antara 2019 hingga 2025, sedangkan upah benar bagi setiap pekerja sektor swasta merosot sebanyak 1.7 peratus dalam tempoh sama.

Katanya, jurang tersebut menunjukkan peningkatan produktiviti perlu disusuli usaha memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada pendapatan pekerja yang lebih baik.

“Saya melihat Malaysia berada pada laluan pertumbuhan yang tepat, tetapi kita perlu memastikan pertumbuhan tersebut semakin berkualiti melalui peningkatan produktiviti, kecekapan syarikat dan nilai ditambah.

“Kesan daripada penambahbaikan teknologi, pendigitalan dan inovasi lazimnya mengambil masa lebih panjang untuk diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata kesinambungan pelaksanaan dasar pertumbuhan sedia ada, khususnya dalam memperkukuh inovasi, pembangunan modal insan dan keupayaan industri domestik, penting bagi memastikan momentum ekonomi negara dapat dikekalkan dalam jangka panjang. – The Capital Post