KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata kerajaan akan membuat pengumuman rasmi mengenai aktiviti sukan dan rekreasi yang akan dibenarkan atau dilarang dalam masa terdekat ini.
-Advertisement-
Katanya, antara yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan adalah untuk membenarkan pembukaan fasiliti sukan tertutup seperti gimnasium dan dewan badminton dengan penjarakan sosial dua hingga lima meter selain tidak membabitkan perhimpunan ramai.
“Serta kebenaran aktiviti sukan berpasukan secara beransur seperti bola sepak, hoki dan lain-lain untuk tujuan aktiviti latihan dan permainan tanpa kontak fizikal dengan penjarakan sosial dua hingga lima meter.
“Tertakluk kepada pengumuman rasmi kelak,” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya, hari ini.
-Advertisement-
Sebelum ini, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelulusan kepada sektor sukan dan rekreasi beroperasi semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu.
Namun, ia hanya membabitkan aktiviti sukan secara individu, sukan kecergasan dan rekreasi, e-sukan, sukan bermotor dan riadah serta kecergasan ringan.
Kerajaan juga memberi kelonggaran untuk atlet di bawah program Road to Tokyo (RTT) kembali menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo bermula Isnin lalu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
-BH