Kuala Lumpur: AirAsia X menyasarkan pelaksanaan penstrukturan semula hutang bernilai antara AS$500 juta hingga AS$600 juta selepas mengambil alih perniagaan penerbangan jarak dekat milik Capital A minggu ini, menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Farouk Kamal.
-Advertisement-
Sebagai rakan penerbangan jarak sederhana kepada jenama AirAsia di bawah Capital A, AirAsia X bercadang menyatukan tujuh syarikat penerbangan di bawah satu identiti jenama bagi memperkemas operasi kumpulan.
Farouk berkata pihaknya turut menilai beberapa langkah pembiayaan semula, termasuk memanjangkan tempoh pinjaman, menurunkan kos faedah serta menyatukan pelbagai instrumen hutang kepada satu atau dua kemudahan pembiayaan utama.
Kumpulan AirAsia merupakan antara pengendali syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Asia sejak penubuhannya pada 2001. Namun, sekatan perjalanan semasa pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada prestasi kewangan Capital A, sehingga mendorong Bursa Malaysia mengklasifikasikannya sebagai syarikat yang menghadapi tekanan kewangan.
Melalui penyatuan semua perniagaan penerbangan berjenama AirAsia di bawah AirAsia X, syarikat penerbangan terlibat dijangka dapat memberi tumpuan kepada peluasan operasi dan pengurangan kos, manakala Capital A memfokuskan usaha pemulihan kewangannya.
AirAsia X juga merancang untuk menyambung semula penerbangan ke London seawal pertengahan tahun ini, lebih sedekad selepas kali terakhir beroperasi ke Lapangan Terbang Gatwick dan Stansted. Selain itu, syarikat tersebut telah melancarkan laluan ke Istanbul pada November lalu.
-Advertisement-
Bagi meningkatkan kesalinghubungan ke Asia Tengah, Asia Barat, Eropah dan Afrika, AirAsia X turut merancang membangunkan sebuah hab baharu di Bahrain.
Menurut Farouk, syarikat itu menjangkakan penerimaan empat pesawat Airbus A321LR pada tahun ini, yang akan menyokong peluasan rangkaian penerbangan ke luar Asia.
AirAsia X, yang mengendalikan armada berjumlah 255 pesawat, pada Julai lalu turut menempah 50 unit Airbus A321XLR serta memperoleh hak menukar 20 pesawat sedia ada kepada model lorong tunggal. Syarikat itu juga sedang berunding dengan pengeluar pesawat bagi segmen serantau sambil mempertimbangkan tempahan tambahan sehingga 150 pesawat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan AirAsia X, Low Kar Chuan, berkata selepas proses penyatuan, syarikat menyasarkan pendapatan jangka terdekat hampir AS$6 bilion, margin EBITDA sekitar 20 peratus serta kadar muatan penumpang melebihi 80 peratus.
Beliau menambah bahawa AirAsia X turut menyasarkan untuk melangsaikan semua pinjaman bank yang diperoleh semasa pandemik COVID-19 dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
-Reuters
-BeritaHarian