Kuala Lumpur: Bursa Malaysia hari ini mengumumkan satu inisiatif baharu bagi memperkukuh pemerkasaan pelabur dengan menyediakan akses langsung kepada Penarafan Tadbir Urus Korporat (CG) bagi Syarikat Tersenarai Awam (PLC) di Pasaran Utama dan Pasaran ACE melalui platform MyBURSA.
Melalui penambahbaikan ini, pelabur serta peserta pasaran dapat menilai tahap atau “kesihatan” amalan tadbir urus setiap PLC secara lebih telus, sekali gus meningkatkan keyakinan pasaran dan daya tarikan syarikat tersenarai di Malaysia.
Inisiatif tersebut bertujuan membantu komuniti pelabur membuat keputusan pelaburan yang lebih berinformasi dan berasaskan data.
Ketua Pegawai Kawal Selia Bursa Malaysia, Julian M Hashim, berkata ketersediaan penarafan CG di MyBURSA membolehkan pelabur menilai kualiti tadbir urus PLC selari dengan petunjuk prestasi utama lain.
“Pendekatan ini menyokong penilaian risiko yang lebih menyeluruh serta membantu analisis nilai jangka panjang sesebuah syarikat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa bagi pihak PLC, pendedahan Penarafan CG berfungsi sebagai penanda aras untuk penambahbaikan berterusan dan meningkatkan daya saing dalam usaha menarik pelaburan tempatan serta antarabangsa.
Penarafan tersebut diperoleh hasil penilaian bebas yang dijalankan oleh Kumpulan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti (MSWG), yang bertindak sebagai Badan Penaraf Domestik.
Proses penilaian menggunakan metodologi ASEAN Corporate Governance Scorecard (ACGS), yang selaras dengan Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD dan mendapat pengiktirafan daripada ASEAN Capital Markets Forum (ACMF).
-Advertisement-
Pendekatan ini membolehkan pelabur membandingkan amalan tadbir urus antara syarikat dan pasaran berbeza berdasarkan piawaian antarabangsa.
Menurut Julian, integrasi Penarafan CG ke dalam MyBURSA turut melengkapi penarafan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang sedia ada, sekali gus menjadikan platform tersebut lebih komprehensif.
“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kualiti tadbir urus dan memperkukuh daya tarikan pasaran modal Malaysia melalui penyediaan maklumat yang relevan, boleh dibandingkan dan menyokong proses membuat keputusan,” katanya.
Penilaian MSWG dibuat berdasarkan maklumat yang tersedia kepada umum, termasuk Laporan Tahunan, Laporan Tadbir Urus Korporat, Laporan Kelestarian serta sumber lain dalam domain awam.
-BeritaHarian