1.5 juta kenderaan dijangka guna KLK, LPT1 sempena Aidiladha

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUANTAN: Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad (ANIH) menjangkakan kira-kira 1.5 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya itu sempena Aidiladha.

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH, Imran Gulcharan Abdullah, berkata jangkaan peningkatan berdasarkan lonjakan trafik yang signifikan ketika musim perayaan ini dengan lebih 1 juta kenderaan menggunakan KLK iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus kenderaan.

Selain itu, katanya, kira-kira 430,000 kenderaan dijangka melalui LPT1 dengan anggaran peningkatan sebanyak 60 peratus.

“Cuti perayaan yang bersambung dengan cuti hujung minggu ini adalah peluang berharga untuk bersama keluarga dalam tempoh lebih lama.

“Kami menggalakkan semua pengguna jalan raya untuk mengikuti panduan Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa

“TTA meliputi tempoh 27 Jun (hari ini) sehingga 2 Julai ini bertujuan membantu pengguna jalan raya mengetahui maklumat penting mengenai corak aliran trafik bagi pengguna yang merancang perjalanan semasa musim perayaan Aidiladha.

“Pengguna jalan raya dijangka berhadapan dengan trafik yang padat menuju ke Pantai Timur ketika hari puncak iaitu hari ini dan esok,” katanya dalam kenyataan.

Dalam usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan ini, beliau berkata, ANIH Berhad menambah jumlah kakitangan sokongan sehingga 20 peratus iaitu petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC).

Katanya, selain itu, seramai 170 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut ditempatkan di kawasan strategik di sepanjang lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh itu.

“ANIH juga membuat persediaan untuk membuka lorong kontra di lokasi yang sesak dan bersesuaian serta lorong tambahan tol bagi transaksi secara manual.

“Sebelum memulakan perjalanan, pengguna jalan raya dinasihati untuk memastikan baki yang mencukupi dalam e-dompet ( e-Wallet) dan Touch ‘n Go bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol yang boleh menyebabkan kelewatan perjalanan.

“Kami menyarankan agar pengguna lebuh raya sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan dan amalkan pemanduan berhemah.

“Gunakan kawasan rehat dan rawat (R&R) atau hentian sebelah bila perlu. Patuhi tanda-tanda jalan, had laju, dan arahan daripada pegawai lebuh raya untuk memastikan keselamatan dan keselesaan yang terjamin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya komited meningkatkan kemudahan dan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan ini.

Katanya, TTA adalah panduan penting bagi membolehkan mereka merancang perjalanan dengan lebih baik dan mengurangkan kemungkinan kelewatan.

“Untuk informasi tepat dan terkini, pengguna dinasihati untuk mengikuti akaun Facebook rasmi @Lebuhraya Pantai Timur dan akaun Twitter @LPTTrafik serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), @llmtrafik.

“Sekiranya berlaku kecemasan, hubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau talian Lembaga Lebuhraya Malaysia di 1800-88-7752,” katanya.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373