201 penduduk Simpang Renggam positif COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Seramai 55 penduduk di Simpang Renggam disahkan positif wabak COVID-19 sejak kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 26 Mac lalu sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor,

R Vidyananthan, berkata ia berdasarkan 1,445 ujian rapid test kit (RTK) sudah dijalankan terhadap penduduk di kawasan PKPD berkenaan.

Katanya, setiap individu yang didapati positif ujian RTK akan diwajibkan untuk menjalani ujian calitan.

“Sebanyak 201 kes positif COVID-19 dengan tiga kematian direkodkan setakat ini di Simpang Renggam termasuk 55 kes positif dicatatkan sejak PKPD dikuatkuasakan di kawasan itu.

“Di Mukim Ulu Benut membabitkan Bandar Baru Datuk Ibrahim Majid mencatatkan 163 orang positif COVID-19, diikuti Kampung Datuk Ibrahim Majid (dua); Parit Penghulu (empat); Taman Seri Bayu (tiga); Parit Salleh (empat) dan dua lagi kawasan, iaitu Taman Suria dan Taman Berjaya, masing-masing dengan seorang yang disahkan positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, PKPD di Simpang Renggam berada dalam keadaan terkawal dengan kadar pematuhan sehingga 98 peratus pada waktu siang, manakala malam pula mencatatkan pematuhan sebanyak 99 peratus.

“Tindakan penguatkuasaan secara rapi dijalankan menerusi sekatan jalan raya, pasukan pemantau, pasukan MPV dan Pasukan Snapcheck (lorong tikus) supaya kesan positif pelaksanaan PKPD dapat dicapai.

“Jumlah kekuatan anggota penguat kuasa yang membabitkan pelbagai agensi ialah seramai 231 orang,” katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, kerajaan Johor juga membuat keputusan untuk tidak meneruskan penganjuran bazar Ramadan di negeri ini.

“Keputusan ini adalah selaras dengan saranan Kerajaan Persekutuan untuk tidak menganjurkan bazar Ramadan pada tahun ini.

“Keputusan itu sebagai langkah kawalan terhadap kemungkinan berlaku penularan wabak COVID-19 akibat kontak rapat, sekali gus mengundang risiko lebih besar kepada pengunjung dan rakyat.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri menggalakkan peniaga untuk menjalankan perniagaan masing-masing secara dalam talian yang juga peluang bagi peniaga untuk meneroka potensi pasaran yang amat luas secara dalam talian,” katanya. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373