3 hari kelaparan terperangkap dalam banjir

Estimate Reading Time: 2 minutes

Gua Musang: “Setibanya di sebuah perkampungan di daerah Yong Peng, Johor, yang dilanda banjir, hati begitu tersentuh, kami rasa sangat sayu.

“Apa tidaknya, penduduk berkenaan tinggal di kawasan berbukit di daerah itu datang mengambil makanan dalam keadaan kelaparan.

“Ada yang dua hari dan ada yang tiga hari tidak menjamah makanan kerana rumah mereka ditenggelami banjir,” kata sukarelawan banjir, Siti Noor Azila Zulkifle, 39.

Itu antara pengalaman dilalui Siti Noor Azila antara 10 sukarelawan dari Gua Musang, Kelantan yang menempuh perjalanan lebih 10 jam ke Yong Peng, Johor ketika misi bantuan banjir pada Mac lalu.

Kesanggupan suri rumah itu tiada batasan, sanggup menyertai aktiviti yang bukan sahaja perlu mengorbankan masa bersama keluarga, tetapi juga berani menanggung risiko bahaya dalam situasi tidak menentu ketika bah bagi memastikan sumbangan sampai kepada mangsa.

Siti Noor Azila yang ketika ini sibuk bersama sukarelawan lain memberi bantuan di sekitar Gua Musang yang dilanda banjir, berkata setiap kali mengikuti misi banjir, dia terpaksa menahan air mata melihat nasib dan keadaan mangsa yang ada tinggal sehelai sepinggang.

Di samping menyampaikan bantuan, sokongan moral juga diberikan bagi meredakan kesedihan akibat pelbagai kerosakan serta kehilangan harta benda.

“Setiap kali misi bantuan banjir, pasukan kami antara terawal sampai ke lokasi kejadian dan dapat melihat sendiri kesan kemusnahan akibat banjir.

“Sebelum air surut, kami bersama agensi keselamatan masuk ke kawasan banjir untuk menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk sebelum ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan berlindung di kawasan berbukit kerana rumah ditenggelami air.

“Kami bawa makanan dan pelbagai keperluan. Ketika bot sampai mangsa kelihatan lemah dan lesu kerana tidak makan dua hari.

“Ada terperangkap di dalam rumah kerana tingkat bawah sudah dinaiki air dan kami akan memujuk pergi ke pusat pemindahan demi menjamin keselamatan mereka,” katanya mengimbau saat menyertai misi bantuan banjir di beberapa negeri.

5 tahun bantu mangsa banjir

Sepanjang lima tahun sudah beberapa misi disertainya bagi menyampaikan bantuan banjir di bawah badan bukan kerajaan (NGO) Cakna Kasih.

Mereka juga membantu membersihkan rumah penduduk dan memasak di pusat PPS mangsa banjir.

“Di sini selalu sedih melihat keadaan rumah mangsa. Semua perabot, barangan elektrik dan sebahagian rumah rosak kerana banjir dan mereka tinggal sehelai sepinggang.

“Malah, ada mangsa sudah membuat persiapan meraikan majlis perkahwinan semua persiapan seperti khemah, meja dan pelamin musnah akibat banjir. Berat ujian untuk mereka,” katanya dalam nada sayu.

Siti Noor Azila berkata, misi juga melangkaui hingga ke selatan Thailand, bagi menyampaikan bantuan mangsa letupan di Sungai Golok Thailand, pada hujung Julai lalu.

“Pasti saya terpaksa berjauhan berminggu-minggu dengan empat anak dan suami apabila perlu mana-mana destinasi termasuk ke Johor dan Kedah.

“Minat dan niat murninya dalam bidang itu mendapat sokongan penuh daripada suami.

“Bagi menyemai sifat kesedaran kepada insan memerlukan atau asnaf di sekitar daerah ini, saya akan membawa anak sebagai pendedahan awal supaya memahami realiti kehidupan orang susah,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373