3 tentera AS terbunuh, lebih 30 cedera dalam serangan dron di Jordan

Estimate Reading Time: 2 minutes

WASHINGTON: Serangan dron ke atas pangkalan tentera di Jordan mengakibatkan tiga tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh dan lebih 30 lagi cedera semalam.

Presiden AS, Joe Biden, menyalahkan pejuang yang disokong Iran mendalangi serangan itu dan berikrar akan menghukum pihak bertanggungjawab.

“Sementara kami masih mengumpul fakta mengenai serangan ini, kami tahu ia dilakukan kumpulan militan radikal disokong Iran yang beroperasi di Syria dan Iraq.

“Kami akan meneruskan komitmen untuk memerangi keganasan. Kami akan bertanggungjawab kepada semua pihak pada masa tertentu dan mengikut kaedah yang dipilih kami,” katanya dalam satu kenyataan berhubung serangan itu.

Ia adalah kes pertama anggota tentera AS terbunuh akibat tembakan musuh di Asia Barat sejak bermulanya perang Israel-Palestin.

Serangan itu dikhuatiri akan meningkatkan ketegangan di rantau itu dan mencetuskan kebimbangan konflik yang lebih meluas secara langsung membabitkan Iran.

Hamas berkata kematian itu menunjukkan sokongan Washington untuk Israel boleh meletakkannya bertentangan dengan seluruh dunia Islam sekiranya nyawa yang tidak bersalah terus terkorban di Gaza dan perang di negara itu boleh mencetuskan ‘api kemarahan serantau’.

Komando Pusat AS melaporkan jumlah yang cedera akibat serangan berhampiran sempadan Syria itu melebihi 30 orang dan identiti mereka yang terbunuh tidak akan diberitahu sehingga keluarga mereka dimaklumkan.

Pembunuhan tiga tentera AS di Menara 22 di Jordan berhampiran sempadan dengan Syria adalah peningkatan ketara keadaan yang sudah tidak menentu di Asia Barat.

Setakat Jumaat, terdapat lebih 158 serangan ke atas tentera AS dan sekutunya di Iraq dan Syria, walaupun pegawai menyifatkan serangan dron, roket dan peluru berpandu yang berterusan sebagai tidak berjaya.

Ini kerana sebilangan besarnya tidak menyebabkan kecederaan serius atau kerosakan kepada infrastruktur.

Sementara itu, Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, berkata korban tentera ‘adalah mesej kepada pentadbiran AS bahawa pembunuhan orang yang tidak bersalah di Gaza perlu ditamatkan jika tidak mahu berdepan kemarahan keseluruhan dunia Islam.

“Pencerobohan berterusan AS-Zionis ke atas Gaza berisiko menyemarakkan api kemarahan serantau,” katanya.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, berkata beliau ‘marah dan sangat sedih’ akibat kematian dan kecederaan pasukan tenteranya.

Dalam pada itu, jurucakap kerajaan Jordan, Muhannad Mubaidin, menzahirkan ucapan takziah kepada AS atas kehilangan nyawa dalam serangan itu dan mengesahkan tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dialami tentera Jordan.

Konflik di Asia Barat menimbulkan cabaran kepada Biden dalam tahun pilihan raya, dengan pelbagai ahli politik Republikan berusaha menggunakan serangan maut itu untuk mendapatkan keuntungan politik.

Bekas presiden, Donald Trump, yang juga pesaing utama Biden, menyifatkan tragedi itu sebagai ‘akibat daripada kelemahan dan tanda mengalah Joe Biden’.

Kebanyakan serangan ke atas kakitangan AS diakui dilakukan ‘Pemberontak Islam’ di Iraq, pakatan longgar kumpulan bersenjata berkaitan Iran yang menentang sokongan AS untuk Israel dalam konflik Gaza.

Semalam, Pemberontak Islam di Iraq berkata, pihaknya menyasarkan serangan dron terhadap kakitangan AS di tiga lokasi di Syria, termasuk dua pangkalan tentera berhampiran tempat pertemuan sempadan Iraq, Syria dan Jordan.

Pusingan terbaru konflik Israel-Palestin bermula apabila kumpulan pejuang Palestin melakukan serangan mengejut pada 7 Oktober mengakibatkan kira-kira 1,140 kematian, kebanyakannya orang awam, menurut angka rasmi AFP.

Susulan serangan itu, AS menyegerakan bantuan ketenteraan kepada Israel yang melakukan serangan tentera tanpa henti yang membunuh sekurang-kurangnya 26,422 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Kematian itu mencetuskan kemarahan yang meluas di seluruh wilayah dan mencetuskan keganasan membabitkan kumpulan yang disokong Iran di Lubnan, Iraq, Syria serta Yaman.

Susulan itu, hampir setiap hari berlaku konflik di Lubnan dengan serangan berbalas tembakan antara Hizbullah dan Israel, tetapi tentera AS terbabit secara langsung di Iraq dan Syria serta di Yaman.

– AGENSI

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373