Lima cedera serangan roket pangkalan tentera di Iraq

Estimate Reading Time: 2 minutes

SAMARRA: Lima roket menghentam sebuah pangkalan udara Iraq yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) mengakibatkan dua kontraktor asing dan tiga askar Iraq cedera.

Serangan terbaharu itu susulan ketegangan antara sekutu Baghdad, Tehran dan Washington.

Sumber keselamatan bercakap dengan AFP, memberitahu dua daripada roket yang disasarkan di pangkalan udara Balad, utara Baghdad itu meletup di asrama dan kantin syarikat AS, Sallyport.

Katanya, setakat ini, tiada pihak mengakui bertanggungjawab, namun seperti biasa AS akan menyalahkan puak Iraq yang berkaitan dengan Iran dengan serangan itu yang disasarkan terhadap pasukan keselamatan dan diplomatnya.

Pesawat pejuang F-16 ditempatkan di pangkalan udara Balad, dan beberapa syarikat penyelenggaraan beroperasi di sana, yang menggunakan kakitangan Iraq dan asing.

Dilaporkan kira-kira 20 serangan bom atau roket terhadap kepentingan AS di negara itu termasuk pangkalan yang menampung tentera AS, sejak Presiden AS, Joe Biden mula masuk Rumah Putih, Januari lalu.

Berpuluh lagi serangan dilaporkan berlaku dari musim luruh 2019 di bawah pemerintahan bekas Presiden Donald Trump.

Dua tentera AS dan seorang awam Iraq terbunuh dalam serangan itu yang mana sasaran adalah kem tentera dan premis milik AS sejak akhir 2019.

Seorang awam Iraq yang bekerja untuk sebuah syarikat yang menjaga jet tempur AS untuk tentera udara Iraq juga cedera dalam satu serangan berkenaan

Pangkalan Balad juga menjadi sasaran awal bulan ini, tetapi tiada korban nyawa dilaporkan.

Kebanyakan serangan diakui dilakukan kumpulan bersenjata Syiah yang bersekutu dengan Iran bagi menuntut pemerintahan Biden menetapkan tarikh penarikan diri bagi Iraq seperti yang dilakukan untuk Afghanistan.

Menurut seorang pegawai, Rabu lalu, sebuah dron berisi bahan peledak dijatuhkan di lapangan terbang Arbil Iraq, serangan pertama kali menggunakan senjata itu yang disasarkan terhadap pangkalan yang digunakan oleh tentera gabungan pimpinan AS di negara itu.

Namun, tiada yang terbunuh dalam serangan di ibu kota wilayah autonomi, Kurdi yang terletak di utara Iraq, namun menyebabkan kerosakan pada bangunan tentera di lapangan terbang itu.

Pada Februari lalu, berbelas roket turut disasarkan kompleks tentera di lapangan terbang yang sama, membunuh seorang awam Iraq dan seorang kontraktor asing yang bekerja dengan pasukan tentera AS.

Kumpulan pro-Iran pula berikrar untuk meningkatkan serangan bagi memaksa tentera AS yang ‘menduduki’ wilayah itu berundur malah hampir setiap hari menyerang konvoi bekalan tentera bersekutu di seluruh wilayah selatan dikuasai Syiah.

Amerika Syarikat minggu lalu menyatakan komitmen mahu menarik semua pasukan tempur yang masih ada dari Iraq, walaupun kedua-dua negara tidak menetapkan garis masa penarikan AS yang kedua sejak pencerobohan 2003 yang menggulingkan Saddam Hussein.

Pengumuman itu dibuat ketika pentadbiran Biden meringkaskan ‘dialog strategik’ dengan kerajaan Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhemi, yang dilihat rapat dengan Washington oleh kumpulan pro-Iran.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373