6 maut gempa bumi landa selatan Mexico

Estimate Reading Time: < 1 minute

OAXACA (MEXICO): Satu gempa bumi kuat dengan magnitud 7.4 melanda selatan Mexico, semalam, menyebabkan enam orang maut tetapi amaran tsunami yang dikeluarkan pada awalnya telah ditarik balik kemudian.

Pusat gempa terletak berhampiran Crucecita di tenggara Oaxaca, dengan kesan gegaran dirasai hingga Mexico City terletak sejauh kira-kira 700 kilometer, sekali gus menyaksikan penduduk yang ketakutan lari bertempiaran.

Semua kematian itu berlaku di Oaxaca dengan kebanyakannya terkorban akibat bangunan runtuh. Menurut pihak berkuasa, seorang wanita maut berhampiran Crucecita, manakala lima lagi terkorban di pekan terletak dalam lingkungan 150 kilometer dari pusat gempa.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa bumi itu bermagnitud 7.4 dengan kedalaman 23 kilometer.

“Kemudahan strategik tiada mengalami sebarang kerosakan, iaitu pelabuhan, lapangan terbang, kilang penapisan dan loji hidroelektrik, semuanya berada dalam keadaan baik,” kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador dalam satu rakaman video yang disiarkan melalui media sosial.

Sementara itu, Mexican Oil memaklumkan, kilang penapisan mereka di Salina Cruz, Oaxaca, ditutup sebagai langkah berjaga-jaga susulan tercetusnya kebakaran yang ‘berjaya dibendung dengan segera’.

Seorang pekerja di kilang itu maut akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Pihak berkuasa berkata, gempa bumi itu turut mengakibatkan kerosakan kecil pada empat hospital dan sebuah klinik, selain gereja, pasar serta bangunan lain.

Enam jam selepas kejadian itu, sebanyak 447 gempa susulan direkodkan di seluruh rantau dengan yang paling kuat bermagnitud 4.6.

Pusat amaran Tsunami Pasifik AS pada awalnya memaklumkan, ombak berbahaya hingga setinggi tiga meter boleh membadai mana-mana kawasan dalam lingkungan 1,000 kilometer dari pusat gempa itu.

Namun beberapa jam kemudian, pusat itu menyatakan bahawa sebahagian besar ancaman berkenaan telah berlalu. – AFP

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373