’64 peratus rakyat negara ini alami pelbagai diskriminasi’ – dapatan tinjauan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kira-kira 64 peratus rakyat negara ini mengalami beberapa jenis diskriminasi dalam tempoh setahun lalu, khususnya berkaitan status sosio-ekonomi mereka.

Dapatan itu diperoleh daripada Tinjauan Keadaan Diskriminasi Malaysia 2023, yang dijalankan Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD) membabitkan 3,238 responden seluruh negara.

Tinjauan itu juga mendapati, seramai 38 peratus daripada responden mengalami diskriminasi berkaitan status sosio-ekonomi mereka.

Selain itu, penganut Hindu lebih cenderung mengalami diskriminasi agama dalam tempoh 12 bulan lalu iaitu mewakili 40 peratus, berbanding Kristian (26 peratus), Buddha (22 peratus) dan Muslim (20 peratus).

Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee, berkata ketika ditanya berhubung inisiatif kerajaan dalam penyelesaian masalah diskriminasi, 45 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati, manakala 40 peratus masih tidak berpuas hati.

Beliau berkata, apabila ditanya apa yang kerajaan patut lakukan untuk menyelesaikan diskriminasi, jawapan diterima termasuklah cadangan mewujudkan undang-undang berhubung perkara itu dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Selain status sosio-ekonomi, diskriminasi turut dirasai rakyat negara ini berhubung faktor usia mereka yang mewakili 33 peratus dan kaum (32 peratus).

“Generasi muda berusia di antara 18 hingga 24 tahun lebih banyak mengalami pengalaman didiskriminasi disebabkan kaum, yang mewakili 43 peratus, berbanding mereka yang lebih berusia iaitu 40 hingga 59 tahun (23 peratus) dan 60 tahun ke atas (22 peratus).

“Sama ada lelaki dan wanita, kedua-duanya pernah mengalami diskriminasi berkaitan jantina dalam kadar lebih kurang sama iaitu mewakili 21 peratus (lelaki) dan 27 peratus (wanita),” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Pada masa sama, Jason berkata, diskriminasi paling banyak dialami mereka di media sosial iaitu sebanyak 32 peratus, dan di tempat kerja, ketika mencari pekerjaan (30 peratus) dan di tempat kerja (29 peratus).

Beliau berkata, individu daripada kaum India, dikesan mengalami tahap diskriminasi lebih tinggi daripada kaum lain ketika memohon pekerjaan yang mewakili 51 peratus.

“Selain itu, individu India juga turut mengalami diskriminasi ketika mencari tempat tinggal (35 peratus) dan ketika berurusan dengan polis (21 peratus),” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang mengalami diskriminasi di tempat kerja, faktor keadaan kerja menyumbang paling tinggi iaitu sebanyak 62 peratus dan gaji (53 peratus).

Katanya, pekerja dari Sabah dan Sarawak lebih berkemungkinan mengalami diskriminasi berkaitan keadaan pekerjaan iaitu sebanyak 72 peratus, sementara Melayu mewakili 56 peratus dan India (60 peratus) lebih cenderung berdepan diskriminasi berkaitan gaji berbanding Cina (41 peratus) dan Bumiputera lain (51 peratus).

“Lebih malang, apabila majoriti mereka yang berdepan diskriminasi iaitu 55 peratus memilih untuk tidak melaporkannya kerana tidak mempunyai bukti, selain halangan dari segi masa atau wang.

“Selain itu, literasi berhubung diskriminasi secara amnya adalah rendah, contohnya kurang daripada separuh atau 49 peratus responden merasakan bahawa dipaksa untuk tidak memakai pakaian keagamaan di tempat kerja dianggap sebagai diskriminasi.

“Sementara 37 peratus berasakan ia bukan satu bentuk diskriminasi,” katanya.

Sementara itu, Shu Qi menyifatkan, dapatan kajian terbabit yang dijalankan mulai 4 hingga 23 Ogos lalu, adalah mengejutkan dan memerlukan pembaharuan struktur daripada kerajaan.

Beliau berkata adalah penting untuk meningkatkan kesedaran dalam aspek empati untuk memastikan penyelesaian dapat dicapai berhubung perkara ini.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373