6,731 PKS terima manfaat skim pembiayaan PENJANA

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan 6,731 permohonan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.259 bilion di bawah skim pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) setakat 12 Februari 2021.

Skim Pembiayaan PKS PENJANA dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion itu mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata

bagi sektor Pelancongan PENJANA, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi PKS dan PKS Mikro yang masih terkesan dengan COVID-19.

“Terdapat 579 permohonan bagi pembiayaan ini dan daripada jumlah ini, sebanyak 282 permohonan sudah diluluskan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM57.1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA), hari ini.

Tengku Zafrul berkata, bagi pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), sebanyak RM363.4 juta sudah disalurkan bagi memanfaatkan 10,774 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan.

Katanya, bagi Pembiayaan Usahawan Bumiputera yang diperkenalkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dengan dana RM200 juta, sebanyak 572 PKS menerima dana bernilai RM161.7 juta setakat 12 Februari 2021, berbanding 548 PKS yang sudah menerima dana berjumlah RM153.0 juta pada minggu sebelumnya.

“Menyentuh mengenai Matlamat Memperkasakan Rakyat, program Subsidi Upah Fasa Pertama (PSU 1.0) masih berjalan dan program ini mencapai nilai penyaluran RM12.763 bilion untuk 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja yang didaftarkan.

“Manakala bagi PSU 2.0, sejumlah RM770.31 juta sudah disalurkan kepada 65,398 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 534,183 pekerja,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, seperti yang dinyatakan semasa Belanjawan 2021, PSU bersasar juga diperkenalkan bagi membantu sektor pelancongan dan peruncitan, manakala kesemua sektor yang terkesan oleh pelaksanaan PKP tahun ini adalah layak untuk menerima sokongan PSU 3.0 di bawah Pakej Bantuan PERMAI.- BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373