Agensi khusus tingkat keterjaminan makanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjalankan kajian terperinci penubuhan agensi khusus bagi meningkatkan keterjaminan makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, berkata perkara berkenaan masih dalam perbincangan dan belum ada keputusan muktamad dibuat.

“Keterjaminan makanan bukan sahaja perkara yang menjadi perhatian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, malah antara lain membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Setakat ini, FAMA sedang melakukan kajian bagaimana agensi tunggal ini harus berfungsi. Ini masih dalam perbincangan dan telah melibatkan beberapa mesyuarat, namun belum ada sebarang yang dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Pada 20 Jun lalu, Foong Hin pada sesi soal jawab di Dewan Negara dilaporkan berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang meneliti cadangan penubuhan agensi khusus bagi meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional, dengan idea penubuhan agensi itu dicetuskan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), awal tahun ini.

Beliau berkata penubuhan agensi berkenaan perlu merangkumi beberapa aspek iaitu elemen ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan makanan dan pemakanan serta kestabilan dan kemampanan.

Sementara itu, Foong Hin berkata, Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan apa yang terbaik mampu ditawarkan oleh Malaysia, selain mengetengahkan trend serta inovasi terkini dalam industri makanan dan minuman antarabangsa.

Beliau turut menggalakkan peserta Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia untuk turut serta dalam perbincangan, jaringan dengan pemimpin industri dan meneroka pelbagai produk dan perkhidmatan yang dipamerkan.

“Saya yakin Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia akan menggalakkan perkongsian baharu, mencetus pelbagai idea inovatif dan membuka jalan untuk masa depan lebih cerah dalam sektor pertanian dan makanan,” katanya.

– BERNAMA

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373