Amang seksual kanak-kanak lapan tahun lelaki dipenjara 7 tahun, sebat

Estimate Reading Time: < 1 minute

TAWAU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, dalam sebuah kereta, Oktober lalu.

Hakim Rosli Ahmad, membuat keputusan itu selepas tertuduh Jumaidi Abdillah Adi Basar, 40, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia lapan tahun dalam sebuah kereta di tepi jalan, belakang sebuah bangunan restoran makanan segera, di sini, kira-kira jam 8.30 malam, 20 Oktober lalu.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau didenda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana, manakala tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada hari kejadian dilihat menghampiri mangsa yang ketika itu berada di tepi jalan sebuah kedai runcit sebelum menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna putih yang dipandunya.

Tertuduh kemudiannya membawa mangsa menuju kawasan belakang bangunan sebuah restoran makanan segera dan melakukan amang seksual terhadap mangsa sebelum meninggalkan mangsa dalam keadaan lemah di kawasan itu.

Mangsa yang ditemukan oleh orang awam dibawa ke hospital dan hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati empat kesan koyakan baharu pada selaput dara mangsa.

Hukuman penjara ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 22 Oktober 2022.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373