Ustaz hadapi dua tuduhan amang seksual murid sendiri

Estimate Reading Time: 2 minutes

IPOH: Seorang ustaz yang juga guru Bahasa Arab dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang muridnya dalam kejadian pada Jun lalu.

Tertuduh, Abdul Halim Ismail, 36, mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan sebaik kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan di hadapan Hakim, Hilmiah Yusof.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu dalam sebuah bilik di Rumah Peranginan Persekutuan, Pulau Pangkor, di antara jam 10 malam hingga 11 malam 28 Jun lalu.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa sama termasuk seks oral di sebuah bilik di Nipah Bay Villa, Pulau Pangkor, antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam 30 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan dua kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 27 Akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan; manakala Seksyen 27 Akta 792 memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan bersalah atas mana-mana kesalahan di bawah Akta itu maka dia hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis minimum setahun namun tidak melebihi tiga tahun bermula sebaik selepas tempoh hukuman yang dijatuhkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Nabihan Shahrir, manakala tertuduh belum diwakili peguam.

Amira Nabihan pada mulanya memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh serta meminta suatu tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Tertuduh kemudian merayu supaya jaminan ditawarkan pada kadar minimum dengan meminta mahkamah mengambil kira jumlah pendapatannya RM4,000 sebulan yang turut menanggung biaya bapanya yang sedang sakit di kampung, selain membantu adik-beradiknya yang bekerja kampung.

Pendakwaan kemudiannya meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan sekiranya tertuduh dibenarkan diikat jamin iaitu tidak dibenarkan mendekati serta mengganggu mangsa dalam tempoh jaminan sehingga kes selesai.

Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan (RM12,000 untuk dua pertuduhan) dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan seperti mana yang dimohon oleh pihak pendakwaan itu, selain menetapkan tarikh 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373