Ammar dilantik sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Amerika, Eropah dan Oceania), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar dilantik sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang baharu, berkuat kuasa Rabu lalu.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, bersetuju melantik Ammar secara rasmi bagi menggantikan Datuk Zainuddin Abdul Wahab yang bersara wajib pada 10 April lalu.

Katanya, Ammar berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pengajian Hotel dan Pengurusan Pelancongan serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Beliau yang telah berkhidmat selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam, pernah diberikan kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai Pengarah Kanan Pengurusan selain menerajui Bahagian Perancangan Strategik serta Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia.

“Selain pernah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan, beliau turut menjawat jawatan Pengarah Luar Negeri di Osaka dan Moscow masing-masing pada tahun 1999 dan 2008 serta Pengarah Negeri Tourism Malaysia Kedah/Perlis pada tahun 2005,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pada tahun 2021, Ammar mengetuai Sekretariat Pasukan Petugas Gelembung Perjalanan bagi memacu usaha pemulihan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau juga adalah Profesor Adjung di Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan, UiTM sehingga kini. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373