Ayam kembali dijual pada harga siling

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan harga ayam stabil susulan bekalan mencukupi, pengguna kini dikatakan kembali terbeban apabila penjual mengakui menjual pada harga siling iaitu RM9.40 sekilogram.

Langkah itu dikatakan bagi mengelak peniaga menanggung kerugian kerana bekalan dilaporkan berkurangan sejak kebelakangan ini.

Tinjauan BH di pasar Chow Kit di sini mendapati, sebahagian besar peniaga menjual ayam RM9.40 setiap kilogram, iaitu harga siling yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sebelum ini, ada peniaga menjual lebih murah daripada harga siling kerana mendapat bekalan mencukupi.

Peniaga ayam, Hussin Abdullah, 45, mengakui menjual pada harga siling RM9.40 sekilogram kerana pembekal turut menaikkan harga.

“Dalam tempoh sebulan ini, harga ayam semakin mahal manakala saiz ayam yang dibekalkan lebih kecil.

“Masalah ini berlaku di seluruh negara sebab kami ada membandingkan harga dengan pembekal lain tetapi harga yang ditawarkan tidak mempunyai perbezaan ketara.

“Hari-hari pembeli mengadu mengenai harga ayam tetapi kami tak dapat berbuat apa-apa apa kerana peniaga tiada kuasa mengawal harga, kami cuma jual ayam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penjual yang hanya mahu dikenali sebagai Eddy, 38, berharap kerajaan menarik semula sekatan mengeksport ayam.

“Apabila pembekal tidak boleh bekalkan ayam ke luar negara, peniaga tempatan terpaksa membeli bekalan dengan harga lebih mahal.

“Antara jam 3 pagi tadi hingga 1 tengah hari ini, saya hanya dapat menjual 30 ekor ayam sedangkan biasanya saya mampu menjual 50 sehingga 60 ekor ayam sehari.

“Pembeli lebih sanggup tidak membeli ayam daripada berbelanja lebih,” katanya.

Sementara itu, kerani, Razi Aziz, 58, berkata keluarganya kini mengehadkan pengambilan ayam kepada tiga kali sebulan.

“Ahli keluarga saya ramai, kami cuba hadkan perbelanjaan bulanan. Saya berpesan kepada isteri jika ke pasar hanya beli apa yang perlu.

“Kami lebih banyak membeli ikan di pasar. Walaupun harga barangan naik, pengguna perlu bijak dan jika saya rasa harga ayam mahal, saya beli ikan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menetapkan harga siling ayam standard di pasaran diteruskan pada harga RM9.40 sekilogram.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata, persetujuan dicapai Kabinet yang turut menyaksikan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran susulan kegusaran ditimbulkan segelintir pihak.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373