Peniaga di Kelantan ramal harga ayam naik bulan depan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Peniaga di Kelantan menjangkakan harga bekalan ayam boleh mencecah sehingga RM12 sekilogram bulan depan.

Mereka berpandangan disebabkan Disember adalah musim cuti sekolah selain banyak majlis perkahwinan serta ketibaan musim tengkujuh sekali gus menyebabkan permintaan bahan makanan itu tinggi.

Pada masa sama, mereka turut memaklumkan harga ayam kini masih mampu dijual dengan harga murah disebabkan bekalan ayam yang stabil dan banyak.

Peniaga, Abdullah Ahmad, 52, berkata sudah tentu harga ayam akan naik memandangkan tiada lagi subsidi sebagaimana sebelum ini.

“Bagaimanapun berapa banyak yang akan naik hanya akan dirasai apabila permintaan ayam kembali meningkat.

“Sebelum ini pun ketika ada subsidi, harga ayam juga mahal pada Disember kerana permintaan meningkat berkali ganda berbanding bulan lain,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang menjual sebanyak 5,000 ayam sehari bagaimanapun berharap pihak pembekal tidak mengenakan harga yang terlalu tinggi yang boleh membebankan pembeli.

Sementara itu, peniaga yang hanya dikenali sebagai Fahmi, 32, turut memaklumkan harga ayam kini masih boleh dijual dengan harga murah memandangkan bekalan ayam banyak susulan kurangnya permintaan daripada premis makanan tertentu.

“Memang tidak mustahil sekiranya harga ayam mencecah belasan ringgit per kilogram selepas ini. Namun saya juga sudah memaklumkan kepada pembekal supaya tidak mengenakan harga yang tidak masuk akal,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung kenaikan harga ayam selepas pelaksanaan pengapungan harga bahan mentah itu bermula Rabu lalu.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pemantauan pasukan penguat kuasa kementerian itu sehingga semalam mendapati, ayam standard di Semenanjung dijual pada harga serendah RM5.79 sekilogram (kg).

Bagaimanapun katanya, ada juga yang dijual sedikit tinggi sehingga RM10.50 sekilogram seperti di Mentakab, Temerloh serta Pasar Awam Matang, Perak.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373