Banjir: 154 mangsa di Kedah ditempatkan di tiga PPS

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 154 daripada 130 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling dan Bandar Baharu.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata seramai 147 orang daripada 127 keluarga berada di dua PPS, Baling setakat 8 pagi ini.

Mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bayu dan SK Siong yang masing-masing dibuka pada jam 8.30 malam tadi.

“PPS Masjid Kepala Batu, Bandar Baharu pula menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Suhaimi berkata, beberapa kawasan di daerah Sik, Kuala Muda dan Kulim turut dinaiki air akibat hujan lebat berterusan semalam.

Bagaimanapun setakat ini tiada PPS dibuka di tiga daerah berkenaan namun pemantauan di kawasan sungai serta kawasan berisiko rendah masih dilakukan APM.

“Di Kulim, lokasi yang terjejas banjir kilat adalah di Kampung Bendang Sera, Mukim Terap.

“Di Kuala Muda pula membabitkan sembilan kampung di Mukim Teloi Kiri iaitu di Kampung Bukit Perak A, Kampung Jerai, Kampung Bukit Topanga, Kampung Haji Ismail, Kampung Sungkap Para, Kampung Haji Safar, Kampung Songkai, Kampung Belakang Masjid dan Kampung Paya Keladi.

“Selain itu, Kampung Bukit Hangus di Mukim Jeneri turut dinaiki air akibat hujan lebat semalam namun tiada PPS dibuka,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373