Bantuan tunai khas kepada isi rumah tidak berkemampuan, cadangan wajar

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan memberikan bantuan tunai khas kepada isi rumah tidak berkemampuan dilihat usaha yang mampu membantu golongan itu meneruskan kelangsungan hidup.

Ketika ini, nilai purata pendapatan garis kemiskinan (PGK) terbaharu meningkat kepada RM2,589 berbanding RM2,208 pada 2019, manakala paras purata miskin tegar pula meningkat kepada RM1,198 berbanding RM1,169 (2019).

Bantuan itu membolehkan golongan yang melepasi had pendapatan itu termasuk mereka tiada upaya bekerja disebabkan masalah kesihatan serta individu lanjut usia menampung perbelanjaan makanan, tempat tinggal, pakaian dan keperluan asas lain.

Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), Prof Dr Ahmad Hariza Hashim, berkata usaha mewujudkan bantuan itu satu langkah wajar tetapi pada masa sama kerajaan perlu bertindak proaktif untuk mengeluarkan mereka daripada PGK.
“Saya bersetuju bantuan itu diberikan bersasar kepada golongan miskin tegar yang tidak mampu keluar daripada PGK disebabkan masalah kesihatan dan usia semakin lanjut, tetapi pemberian itu bukan sepanjang hayat.

“Kita tidak mahu mereka ini menjadi selesa dengan pemberian terbabit, jadi mereka perlu berusaha keluar daripada kemiskinan dari semasa ke semasa dan penting untuk dimaklumkan, bantuan itu bukan sesuatu yang kekal tetapi disebabkan keadaan semasa.

“Apabila mereka mempunyai usaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, mereka akan dibantu oleh pihak kerajaan melalui agensi yang berkaitan yang bertindak sebagai pemudah cara menjadikan isi rumah sifar miskin,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan bantuan tunai khas secara bulanan kepada isi rumah tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan atas faktor umur dan kesihatan.

Ia antara tiga cadangan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya, baru-baru ini.

Bantuan ubah nasib keluarga

Ahmad Hariza berkata, penerima bantuan juga perlu berusaha meningkatkan ekonomi berikutan sepanjang tempoh diberikan bantuan, mereka tidak lagi dibebani kelaparan serta kesukaran menyediakan makanan untuk keluarga.

“Peluang melalui bantuan ini perlu dimanfaatkan mereka untuk memikirkan jalan meningkatkan ekonomi keluarga, termasuk mengubah nasib keluarga dengan bantuan lain daripada kerajaan,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mustazar Mansur, berkata kerajaan perlu menggunakan sepenuhnya Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) untuk mengenal pasti penerima yang benar-benar layak.

“Ramai miskin bandar ini tidak hanya boleh dibantu dengan bantuan bulanan tetapi pendidikan anak penerima juga perlu dipastikan tidak terjejas, baru mereka ada jalan penyelesaian.

“Dana bantuan tidak semestinya guna sumber kerajaan kerana banyak agensi sanggup membantu dan sebagai timbal balik, kerajaan beri pelepasan cukai untuk peranan diambil swasta untuk bantu individu keluar daripada PGK.

“Hal ini menggalakkan penyumberluaran (outsourcing) tanpa membabitkan beban besar kerajaan seperti pembinaan lebuh raya oleh konsesi yang tidak membabitkan sumber kerajaan, tetapi kerajaan menawarkan kepada syarikat kompeten,” katanya.

Bantuan tunai khas juga sangat diperlukan secara bersasar kerana Malaysia akan mencapai status negara tua 2030 dengan warga emas tiada dana persaraan tempat penjagaan, beban pelbagai penyakit.

“Anak juga tidak mampu bantu, dalam keadaan ibu bapa terlantar sakit tiada siapa mampu menjaga sepenuh masa, sebab anak terdesak bekerja atau mengorbankan kerjaya untuk menjaga ibu bapa uzur.

“Golongan warga tua ini memerlukan pendapatan selesa sekurang-kurangnya RM2,500 hingga RM3,000 sebulan untuk masa emas mereka, jadi bantuan tunai khas sangat diperlukan.

“Kakitangan swasta atau pekerja gig yang tiada dana persaraan, tidak simpanan, mereka akan hadapi isu tidak cukup wang,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373