Belanjawan 2021 beri sinar harapan pada industri pelancongan negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 20 Nov — Pandemik COVID-19 jelas memberi implikasi buruk terhadap sektor pelancongan hingga menyaksikan industri itu semakin hari semakin tenat, justeru Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini diharap memberi sinar baharu kepada rantaian ekonomi sektor itu.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) Sherene Azli, Belanjawan 2021 yang memperuntukkan RM35 juta kepada majlis itu bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan, akan dapat membantu memastikan kedudukan negara sebagai destinasi utama tidak terjejas, selain menjadi pemangkin untuk memulihkan industri tersebut.

Mengambil kira situasi semasa di negara pesaing di rantau ini seperti Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Taiwan yang masih aktif dalam mempromosikan destinasi mereka, Malaysia akan ketinggalan sekiranya tiada tindakan dan inisiatif dilaksanakan sepanjang 2021 semasa tempoh pemulihan ekonomi.

“Risikonya adalah pesakit dan pelancong kesihatan akan memilih negara lain apabila situasi pulih kembali pasca COVID-19,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata pandemik COVID-19 menyebabkan hasil pendapatan yang dijana berkurangan sehingga 70 ke 75 peratus bagi tahun ini berbanding tahun lepas dan menyebabkan kerugian pendapatan sehingga RM1 bilion kepada industri pelancongan kesihatan dan hingga RM4 bilion kepada ekonomi.

“Sekiranya proses pemulihan industri dilewatkan, impak negatif kesan pandemik ini akan berterusan sehingga 2028 ke 2030,” katanya.

Sherene berkata sektor pelancongan kesihatan sememangnya dikenal pasti sebagai segmen pelancongan yang bernilai tambah dan menyumbang lebih lapan peratus kepada hasil yang dijana oleh sektor pelancongan negara tahun lalu iaitu sebanyak RM7 bilion kepada ekonomi.

“Sektor pelancongan kesihatan juga memberi kesan limpahan kepada sektor lain seperti sektor pelancongan, perhotelan, hospitaliti, runcit dan pengangkutan… ia memberi impak sampingan dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Jika faktor ini diambil kira sektor ini dapat akan menjadi pemangkin dalam membantu memulihkan sektor pelancongan negara kita dan juga ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Belanjawan 2021 turut menyaksikan sejumlah RM20 juta juga diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-Kampung Budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata peruntukan itu merupakan satu talian hayat dalam perancangan kerajaan negeri untuk memperkasakan aktiviti kesenian dan kebudayaan yang akan dijalankan di Kampung Budaya Terengganu.

“Penggiat kebudayaan turut mengharapkan agar peruntukan yang diumumkan itu dapat membantu menambah pendapatan mereka yang sangat suram ekoran ketiadaan aktiviti berikutan wabak tersebut.

“Oleh itu, besar harapan kami agar belanjawan ini dapat diluluskan agar ia mampu memberi kelangsungan terhadap aktiviti kesenian dan kebudayaan sekali gus menyemarakkan kembali industri pelancongan domestik,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemandu-Pemandu Pelancong Bumiputera Malaysia Zulkifli Ismail berkata Belanjawan 2021 boleh ditambah baik dengan lebih tumpuan kepada penggiat industri di semua peringkat.

“Belanjawan 2021 perlu diluluskan, namun ia perlulah mengambil kira kepentingan rakyat dalam bidang pelancongan yang sangat terkesan… ini kerana Belanjawan 2021 sebenarnya tidak begitu membantu kepada penggiat industri kerana ia lebih kepada menaik taraf tempat pelancongan.

“Dana yang diberi jangan pilih kasih…ada penggiat industri dapat, ada yang tidak… pemandu pelancong misalnya ada yang diberi bantuan sekali bayar sebanyak RM600, tetapi ada negeri yang tambah lagi RM1,000 dan ada yang tidak… begitu juga dengan ejen pelancongan, hotel dan lain-lain yang tidak dibantu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang berkata pihak pemain industri mengharapkan peluang kedua untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan agar peruntukan bagi sektor itu dapat disemak semula.

“Sebelum Belanjawan 2021 diluluskan, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk membuat peruntukan khas kepada pemegang kepentingan yang mungkin tertinggal,” katanya. -BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373