Belanjawan 2024: ‘Bersemangat, pasti okay’ – PM Anwar

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Menjelang Belanjawan 2024 petang ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinan dan bersemangat untuk pembentangan perancangan kewangan negara itu.

“(Saya) bersemangat, pasti okay,” katanya ringkas.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas bersama lebih 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Mahmoodiah Presint 18 di sini.

Sebelum itu, beliau yang lengkap berbaju Melayu ungu serta samping tiba pada jam 12.50 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau kemudiannya menyertai jemaah lain bagi mendengar khutbah bertajuk Solidariti Pertahankan Palestin sebelum menunaikan solat Jumaat diimamkan Ustaz Abu Bakar Mohamad Noor.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Palestin Jabatan Perdana Menteri.

Tabung terbabit adalah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Selepas majlis itu, Anwar meluangkan masa bersalaman dan berbual ringkas dengan jemaah yang menunggu di pekarangan masjid, sebelum beredar.

Terdahulu sebelum solat Jumaat, Anwar berkesempatan singgah makan tengah hari di medan selera Masjid Mahmoodiah bersama orang ramai.

Anwar menikmati sajian lauk kampung bersama masakan asam pedas yang tersedia dijual di situ.

Kunjungan makan tengah hari dan solat Jumaat di masjid di seluruh negara sudah menjadi rutin bagi Perdana Menteri untuk mendekati rakyat sejak mengambil tampuk pemerintahan negara pada November tahun lalu.

Perdana Menteri dijadual membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373