Bursa Malaysia perkenal perkhidmatan eRights

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kuala Lumpur: Bursa Malaysia Bhd memperkenalkan perkhidmatan baharu pada aplikasi mudah alihnya, Bursa Anywhere yang akan membolehkan pelabur melanggan isu hak secara elektronik (eRights).

Bursa itu dalam satu kenyataan menjelaskan, perkhidmatan eRights baharu ini menawarkan kaedah yang mudah bagi pendeposit untuk memohon dan membuat pembayaran bagi terbitan hak secara elektronik melalui aplikasi Bursa Anywhere.

eRights melupuskan keperluan untuk borang langganan secara fizikal termasuk perjalanan ke bank atau pejabat pos bagi membuat sebarang pembayaran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, dengan adanya ciri baharu ini, bursa itu membayangkan pengurangan yang signifikan dalam risiko permohonan sekuriti hak seperti dokumen tersalah letak atau tertangguh disebabkan kelewatan perkhidmatan penghantaran pos.

“Sebarang pengembalian wang yang timbul daripada lebihan permohonan saham akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pelabur dan tidak lagi perlu menunggu cek pengembalian wang yang dikirim melalui pos seperti sebelum ini,” katanya.

Kenyataan itu juga memberitahu, Bursa Anywhere adalah aplikasi mudah alih yang bertujuan memberikan akses kepada pelabur dalam menguruskan akaun sistem simpanan pusat (CDS) mereka dari jauh.

Selain perkhidmatan eRights, aplikasi ini juga memudahkan pembukaan akaun CDS, langganan e-dividen dan pengaktifan semula akaun tidak aktif.

Aplikasi Bursa Anywhere sudah merekodkan lebih daripada 190,000 muat turun sejak dilancarkan pada Jun 2019.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373