Labur saham guna Touch ‘n Go eWallet bermula tahun depan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd, TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) dan Affin Hwang Investment Bank Bhd (AHIBB) menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi membolehkan pelabur runcit mengambil bahagian dalam pasaran saham melalui platform digital TNGD.

Melalui kerjasama itu, pelabur runcit akan dapat mengakses pelbagai produk pelaburan yang disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih meluas melalui ciri GOinvest di Touch ‘n Go (TNG) eWallet.

Ciri berkenaan akan membolehkan pelabur untuk melabur dengan lancar dan memantau portfolio GOinvest, semuanya di dalam satu aplikasi tunggal, yang menampilkan antara muka yang mesra pengguna dan langkah keselamatan yang terbaik.

AHIBB, sebagai rakan broker, akan membantu pelabur dengan menawarkan akses pasaran yang lebih baik, sumber penyelidikan yang komprehensif, data pasaran masa nyata dan sokongan pelanggan yang responsif, untuk memperkayakan pengalaman perdagangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata platform pelaburan saham digital di GOinvest itu dijangka akan tersedia pada suku pertama tahun depan.

“Kami menyasarkan pembukaan 100,000 akaun CDS (Sistem Depositori Pusat) menerusi platform itu dalam tempoh setahun ia dilancarkan.

“Bursa Malaysia percaya pasaran yang inklusif adalah penting untuk masyarakat yang diperkasakan secara kewangan.

“Menuju ke hadapan, kami akan terus berinovasi dan memperkenalkan cara baharu bagi pelabur runcit untuk mengambil bahagian dengan yakin, dan mendapat manfaat daripada banyak peluang yang ada dalam pasaran modal Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoC itu di sini, hari ini.

Beliau memeterai MoC itu bagi pihak Bursa Malaysia, manakala TNGD diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Alan Ni dan AHIBB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Nurjesmi Mohd Nashir.

Ia disaksikan oleh Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Bhd, Datuk Wan Razly Abdullah.

Muhamad Umar berkata, segmen pelabur runcit adalah sentiasa penting buat Bursa Malaysia, dengan pihaknya telah menjalankan banyak pendekatan terutamanya menyediakan pendidikan celik kewangan dan pelbagai alat digital untuk kepentingan pelabur baharu, sedia ada dan akan datang.

Katanya, Bursa Malaysia kini mempunyai 3.14 juta pemegang akaun CDS berdaftar dan daripada jumlah itu, 2.12 juta adalah akaun CDS runcit dengan hanya 1.4 juta yang terbabit secara aktif dalam perdagangan.

“Bagaimanapun, angka ini hanya mewakili sebahagian kecil daripada 22 juta penduduk dewasa di negara kita, yang menunjukkan terdapat potensi 19 juta orang dewasa yang belum diterokai untuk pelaburan.

“Pada akhir September 2023, penyertaan runcit tempatan dalam pasaran ekuiti menyumbang 27 peratus, bersamaan dengan RM545.3 juta atau lebih daripada satu perempat daripada purata nilai dagangan harian keseluruhan (ADV),” katanya.

Sementara itu, Ni berkata, pihaknya yakin kerjasama berkenaan akan mendatangkan kesan yang penting kepada pengguna e-dompet itu dan semua rakyat Malaysia.

“Kerjasama ini selaras dengan visi kami untuk mengatasi halangan kewangan dan menjadikan perkhidmatan kewangan termasuk pelaburan, boleh diakses oleh semua.

“Bersama-sama, kita boleh terus memperkasakan rakyat Malaysia untuk membuat keputusan kewangan yang tepat, sambil membolehkan mereka mengalami pengalaman perdagangan yang mudah dan selamat,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373