Bursa Malaysia, Shenzhen Stock Exchange galakkan aliran pelaburan Malaysia-China

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Bursa Malaysia Bhd dan Shenzhen Stock Exchange (SZSE) terus memperkukuh usaha kolaboratif dengan langkah menggalakkan lagi aliran pelaburan di antara Malaysia dengan China.

Menerusi kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata kerjasama itu merangkumi penggalakan bersama konstituen indeks untuk meningkatkan kebolehlihatan serta profil pasaran China dan Malaysia.

Ia berkata kedua-dua pengendali bursa saham berkenaan, bersama-sama Stock Exchange of Thailand, menganjurkan Seminar Kerjasama Pasaran Modal ASEAN (Sesi Pembuatan) pada 30 Okt lepas.

Bursa Malaysia berkata acara itu bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai penggalakan pasaran bersama, perkongsian maklumat, pembangunan perniagaan dan peluang pelaburan.

“Penceramah pada seminar secara maya itu meliputi syarikat pembuatan terkemuka dan pakar industri daripada tiga bursa saham tersebut, menyasarkan pelabur dan firma China serta ASEAN,” menurut Bursa Malaysia.

Ia berkata tiga syarikat yang menyertainya ialah Top Glove Corporation Bhd, Beibu Gulf Port dan Siam Cement PCL.

Halaman mengenai Maklumat Syarikat-syarikat Tersenarai Luar Negara V-Next bagi Platform V-Next SZSE turut dilancarkan semasa acara itu.

V-Next merupakan platform perkhidmatan kewangan yang menjalankan pandanan rentas sempadan pelabur China dengan syarikat inovatif dan teknologi tinggi di seluruh dunia, kata Bursa Malaysia.

Pengarah (Pasaran Sekuriti) Bursa Malaysia, Azhar Mohd Zabidi berkata China kekal sebagai sumber pelaburan langsung asing terbesar Malaysia bagi sektor pembuatan dengan nilai berjumlah RM40.3 bilion dan mewujudkan lebih 40,000 pekerjaan dalam tempoh 2016 hingga 2019.

Beliau juga berharap acara ini akan mendorong dan menyedarkan para peserta mengenai peluang luas yang ada di Malaysia di samping memastikan alirannya akan berterusan untuk menyokong lagi saranan nilai Malaysia sebagai hab rantaian bekalan dan pembuatan global.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373