COVID-19: Taj Mahal ditutup, kes jangkitan harian di India meningkat

Estimate Reading Time: 2 minutes

NEW DELHI: Ikon pelancongan India, Taj Mahal terus ditutup kepada pengunjung, berikutan peningkatan kes harian jangkitan COVID-19 dan pembukaan lebih banyak pusat rawatan bagi menangani pandemik itu di seluruh negara, menurut pegawai Kementerian Kesihatan pada Ahad.

Kementerian Kesihatan negara itu melaporkan sebanyak 25,000 kes dan 613 kematian dalam tempoh 24 jam, lonjakan jumlah kes harian terbesar sejak kes pertama dikesan akhir Januari lalu.

Ia menjadikan jumlah kes keseluruhan COVID-19 di India, meningkat kepada 673,000 kes dengan 19,268 kematian, menjadikan negara itu menghampiri Rusia, negara ketika paling banyak kes di dunia.

Peningkatan jangkitan berlaku ketika pihak berkuasa tempatan di utara kota Agra mengatakan Taj Mahal, satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Baharu, tetap ditutup kepada pengunjung walaupun kerajaan berpendapat sebaliknya untuk memberi izin ia dibuka kembali mulai hari ini.

Taj Mahal ditutup sejak pertengahan Mac lalu, sebagai sebahagian daripada langkah memerangi pandemik COVID-19.

“Taj Mahal, yang berada dalam bidang kuasa balai polis Taj Ganj, adalah ‘zon penahanan’,” menurut dokumen dikeluarkan oleh Majistret Daerah Agra, Prabhu N Singh, pada Ahad.

Zon penahanan adalah di mana kadar jangkitan tinggi dikesan, dengan semua aktiviti kecuali perkhidmatan penting dihentikan.

Monumen-monumen utama lain, termasuk Benteng Agra dan Sikandra, rumah makam maharaja Mughal Akbar the Great, juga akan ditutup, kata dokumen itu.

Taj Mahal dan monumen Agra utama yang lain terletak di kawasan perumahan yang berpenduduk tinggi, yang kebanyakannya dikategorikan sebagai zon penahanan.

Di ibu kota, New Delhi, kakitangan perubatan mula merawat pesakit di sebuah pusat kerohanian yang ditukar menjadi pusat kuarantin dan hospital dengan 10,000 katil.

Pegawai kerajaan negeri bimbang New Delhi, tempat tinggal 25 juta orang akan mencatat lebih daripada setengah juta kes jangkitan COVID-19 menjelang akhir bulan ini.

Pihak berkuasa tempatan di bandar raya itu juga sudah menukar beberapa hotel, dewan majlis perkahwinan untuk dijadikan sebagai pusat rawatan selain bersiap sedia untuk mengubah suai gerabak kereta api bagi tujuan sama.

Perintah sekatan yang ketat sejak akhir Mac lalu, dilonggarkan secara berperingkat bagi membolehkan kebanyakan aktiviti ekonomi dibuka semula walaupun jumlah kes jangkitan di seluruh negara yang mempunyai penduduk berjumlah 1.3 bilion orang terus meningkat.

Sekolah, kereta api metro di bandar, panggung wayang, gimnasium dan kolam renang serta penerbangan antarabangsa juga masih ditutup.

Pihak berkuasa telah mewajibkan memakai topeng di tempat awam, sementara perhimpunan besar dilarang dan kedai dan tempat awam lain diperlukan untuk melaksanakan penjarakan sosial.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373