Dana HRD Corp: PAC panggil Sivakumar minggu depan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar Khamis depan berhubung isu pengurusan dana latihan dan keberkesanan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, selain Sivakumar, wakil daripada Kementerian Kewangan di dalam HRD Corp akan turut dipanggil sepanjang dua hari prosiding yang akan berlangsung pada Rabu dan Khamis itu, susulan kepada prosiding pertama yang diadakan Isnin lalu.

“Keputusan memanggil kedua-dua saksi ini (Sivakuma dan wakil kementerian dalam HRD Corp) disebabkan nama mereka disebut dalam prosiding pertama dan untuk berlaku adil kepada mereka.

“Sehubungan itu, saya mohon supaya saksi-saksi berkenaan hadir bagi membantu PAC melengkapkan siasatan berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan PAC memulakan prosiding berkenaan mengikut punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Dewan Rakyat, berikutan isu terbabit tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Pada prosiding pertama Isnin lalu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amran Ahmad dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood dipanggil untuk memberikan penjelasan kepada PAC.

Berhubung laporan kemajuan projek pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua-Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mas Ermieyati berkata ia dijangka dibentang pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

“PAC sedang memuktamadkan laporan berhubung isu berkenaan bagi tempoh Jun hingga September lalu dan kita jangkakan laporan ini akan dapat dibentangkan dalam mesyuarat kali ini,” katanya.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373