Dibunuh akibat sering ganggu isteri rakan

Estimate Reading Time: < 1 minute

LAWAS: Seorang lelaki warga Indonesia maut disyaki dibunuh rakan senegara yang berang kerana mangsa didakwa sering mengganggu isteri suspek, termasuk mengajak untuk melakukan persetubuhan.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Roslan Leman, berkata orang awam menemui mayat mangsa dikenali sebagai Imran, 40-an.

Beliau dijumpai dalam longkang di kawasan ladang di Kampung Siang-Siang Laut, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin. Hasil siasatan lanjut, beliau berkata, polis berjaya mengesan dan menangkap suspek.  Beliau dikenali sebagai Herman, 32, di kuarters sebuah ladang kira-kira jam 12.10 tengah hari.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku bergaduh dengan mangsa pada Isnin lalu.  Ia didakwa berpunca daripada tindakan mangsa sering mengganggu hingga pada kali terakhir, mengajak isteri suspek untuk bersetubuh.

“Suspek mengaku bertindak seorang diri dengan bersenjatakan tombak sawit untuk menikam mangsa hingga mati, sebelum membalut mayat menggunakan kanvas.

“Suspek kemudian dikatakan seorang diri memikul mayat mangsa dan membuangnya ke lokasi mayat itu ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Roslan berkata, hasil pemeriksaan pada mayat mendapati mangsa mengalami kecederaan dengan kesan tetakan di dahi, telinga, leher, belakang badan dan lutut kiri, manakala pergelangan tangan putus.

Bagaimanapun, katanya, lokasi sebenar pergaduhan terbabit masih sedang dikenal pasti.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek dan mangsa adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, suspek disyaki memasuki Malaysia melalui jalan tikus Sindumin, Sabah-Lawas, dengan membawa isteri dan dua anak berusia dua serta enam tahun, kira-kira enam bulan lalu.

Selain itu, beliau berkata, suspek dikatakan tidak bekerja selepas diberhentikan dari ladang dan sedang mencari pekerjaan baharu.

“Suspek kini direman untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373