Faktor Jokowi penentu sokongan rakyat terhadap Prabowo-Gibran

Estimate Reading Time: 3 minutes

Kemenangan calon Presiden, Prabowo Subianto dan gandingannya, Gibran Rakabuming Raka dalam Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2024 semalam sudah dijangka ramai memandangkan mereka mendahului saingan tiga penjuru itu sejak awal kempen lagi.

Namun, kemenangan itu hadir selepas kempen Prabowo-Gibran mendapat bantahan besar-besaran khususnya daripada aktivis, ahli akademik, pelajar universiti dan sebilangan kumpulan rakyat pertengahan, yang menyatakan kebimbangan langkah tidak wajar kerajaan pimpinan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo yang didakwa cuba mempengaruhi PEMILU 2024.

Biarpun keputusan rasmi akan diumumkan dalam tempoh 30 hari lagi, ‘quick count’ yang menjadi sebahagian sistem demokrasi republik itu menunjukkan lebih 53 peratus memilih pasangan berkenaan.

Jumlah itu lebih tinggi daripada kajian soal selidik yang dilakukan sekitar hujung tahun lalu yang hanya meletakkan Prabowo-Gibran Rakabuming dalam lingkungan lebih 40 peratus sahaja.

Ketika itu, ramai menjangkakan mereka berdua akan bertarung dalam Pusingan Kedua Pilihan Raya Presiden (PILPRES), bersaing sama ada dengan gandingan Anies Rasyid Baswedan-Muhaimin Iskandar atau Ganjar Pranowo-Mahfud Md.

Keputusan rasmi dalam tempoh sebulan ini juga dijangka akan meningkatkan lagi jumlah undi sebenar Prabowo-Gibran. Begitu juga undi dua lagi pesaingnya.

Namun ‘quick count’ yang didakwa mempunyai 96 peratus ketepatan PEMILU menunjukkan Prabowo-Gibran dijangka tidak akan berdepan pusingan kedua, sekali gus akan terus dilantik sebagai Kepala Negara Indonesia baharu menggantikan Jokowi, beberapa bulan lagi.

Keputusan ‘quick count’ ini sekali gus mendiamkan kritikan dan pandangan beberapa pihak di Indonesia termasuk media tempatan yang sebelum ini menjangkakan Prabowo bakal ditentang hebat Anies Rasyid yang sebelum ini adalah Gabenor Jakarta dan didukung kumpulan rakyat pertengahan.

Ia juga melenyapkan harapan sebahagian kelompok rakyat yang mahu Anies Rasyid mengheret Prabowo yang juga bekas jeneral tentera itu ke pusingan kedua. Penyokong Ganjar juga dikatakan bersedia untuk mendukung Anies Rasyid dalam tentangan itu.

Bagaimanapun semua pihak bersetuju, kemenangan Prabowo dalam PEMILU 2024 dilihat atas faktor Jokowi yang menjadi penentu besar mempengaruhi kumpulan rakyat bawahan, yang sememangnya memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Presiden itu.

Biarpun tidak menyatakan sokongan terbuka, Jokowi dilihat memainkan peranan penting dalam gandingan Prabowo-Gibran sehinggakan soal selidik yang dijalankan sebelum PEMILU 2024 berlangsung, menunjukkan sokongan kepada mereka berdua meningkat lebih 53 peratus selepas Presiden terbabit secara berterusan menunjukkan pilihannya.

Sokongan ini berterusan apabila Jokowi mengumumkan sejumlah 14 bantuan sosial membabitkan peruntukan sekitar 5 trilion rupiah (RM1.53 bilion) untuk rakyat Indonesia. Ia menjadi peruntukan terbesar dalam sejarah negara ini yang membabitkan bantuan kewangan dan bantuan beras, sekali gus sangat dihargai kelompok rakyat miskin yang ketika ini terbeban dalam krisis ekonomi dunia.

Dukungan rakyat terlalu kuat

Selain itu, isu ‘kecurangan’ atau ketidakpatuhan PEMILU 2024 juga dilihat tidak berhasil untuk menjatuhkan Prabowo-Gibran apabila dukungan rakyat yang terlalu kuat terhadap Jokowi.

Antaranya dokumentari ‘Dirty Vote’ yang muncul sewaktu hari bertenang PEMILU 2024, seolah-olah ia langsung tidak dipedulikan rakyat. Hanya kumpulan rakyat pertengahan dan golongan terpelajar sahaja yang dilihat ‘bergendang’ dalam isu ini biarpun pemberitaannya meluas oleh media tempatan.

Ini membuktikan sokongan di bawah terhadap Jokowi adalah terlalu kuat dan sukar dijatuhkan, sekali gus mempengaruhi kemenangan Prabowo-Gibran.

Kehadiran susuk Jokowi di setiap pelosok negeri Indonesia kebelakangan ini juga dilihat mencerminkan sokongan kepada gandingan itu, sekali gus berjaya menarik simpati rakyat untuk memberi sokongan kepada gandingan berkenaan.

Menurut Ketua Editor IDN Times, Uni Lubis, kemenangan Prabowo disebabkan strategi Jokowi mengetahui selok-belok politik negara Indonesia.

“Jokowi pada masa ini masih lagi anggota Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dan beliau pastinya mengetahui strategi serta langkah diatur parti itu termasuk cara untuk mengalahkan calonnya.

“Biarpun tidak mengesahkan, Jokowi seperti mengumumkan dukungan terhadap Prabowo, jadi ini menunjukkan persaingan Prabowo sudah 80 peratus stabil,” katanya dalam wawancara di tengah-tengah kehangatan pengundi keluar mengundi.

Bagi Uni, rakyat Indonesia pada masa kini berkemungkinan mahukan pemimpin lebih kuat yang boleh membawa Indonesia mengatasi krisis geopolitik hari ini.

“Jokowi tidak hadir dalam kelompok elit politik dan disebabkan itu beliau sangat disukai rakyat tetapi hari ini mungkin situasi ini ‘swing’ dan rakyat mahukan pilihan lain,” katanya.

Uni juga menjelaskan, kumpulan anak muda Indonesia begitu menyokong kemaraan Prabowo berbanding calon lain disebabkan kempen Menteri Pertahanan itu yang menggunakan kelebihan media sosial seperti TikTok.

“Anak muda Indonesia hari ini begitu dekat dengan TikTok dan kempen Prabowo menggunakan pendekatan ini untuk lebih mencapai kumpulan ini, sekali gus memberi kelebihan kepada mereka,” katanya.

Di sisi lain, Prabowo juga dilihat mendapat kelebihan sokongan daripada pemilih setia yang menyokongnya pada PEMILU 2019.

Soal selidik pada Disember lalu mendapati gandingan Prabowo-Gibran sudah melepasi jumlah 43 peratus.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373