Foodpanda mahu perluas ‘cloud kitchen’ tahun ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: foodpanda Malaysia merancang untuk memperluaskan lagi inisiatif dapur awan atau ‘cloud kitchen’ pada tahun ini selepas melihat perkembangan semasa industri penghantaran makanan yang semakin meningkat.

Pengarah Urusannya, Sayantan Das, berkata pihaknya percaya bahawa ‘cloud kitchen’ adalah masa hadapan industri makanan dan minuman (F&B).

“Menerusi inisiatif ini, pemilik restoran mampu menjalankan perkhidmatan penghantaran sahaja dengan kos permulaan yang minimum,” katanya kepada BH, ketika dihubungi, di sini, baru-baru ini.

Cloud kitchen ialah konsep yang mana restoran atau kedai makan tidak menyediakan perkhidmatan untuk makan di dalam kedai, sebaliknya hanya untuk penghantaran sahaja.

Konsep ini semakin mendapat perhatian terutama selepas pandemik COVID-19 apabila semakin ramai pelanggan lebih cenderung untuk memesan makanan untuk dihantar kepada mereka berbanding makan di kedai kerana bimbang dengan penularan wabak ini.

Kelebihan konsep ini antaranya adalah penjimatan kos dari segi penyewaan apabila memerlukan ruang yang lebih kecil untuk memasak dan juga bayaran gaji apabila memerlukan jumlah pekerja yang sedikit.

Dalam pada itu Sayantan berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac tahun lalu, bilangan rakan penghantar mereka meningkat dua kali ganda berbanding sebelum PKP.

Katanya, daripada 15,000 rakan penghantar, kini pasukannya telah berkembang ke lebih daripada 35,000 rakan penghantar untuk tahun 2020.

“Pada Mac tahun lalu, kami melihat trend yang positif dalam kalangan pemilik restoran untuk menyertai Foodpanda. Bilangan peniaga yang menyertai kami juga meningkat sebanyak 163 peratus daripada.

“Kini rakan peniaga kami telah berkembang kepada lebih 60,000 termasuk restoran, kedai runcit, kedai serbaneka, gerai, warung, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta ‘home chef’ iaitu tukang masak yang beroperasi dari rumah dan tidak memiliki tapak kedai,” katanya.

Mengenai strategi pelaburan dan pengembangan dan pelaburan syarikat di masa hadapan, beliau berkata, Foodpanda kini sudah terdapat di 85 bandar di Malaysia.

Katanya, pihaknya juga bernasib baik kerana mempunyai kemampuan untuk berkembang bukan sahaja di bandar-bandar besar seperti Subang Jaya dan Shah Alam malah di kawasan dan bandar-bandar yang kecil juga seperti Jitra dan Taiping.

“Foodpanda turut memperkenalkan dua perkhidmatan baru, iaitu Foodpanda Shops dan Pandamart. Foodpanda Shops membolehkan pengguna untuk memesan barangan dapur dan keperluan rumah dari kedai serbaneka seperti Tesco, FamilyMart dan 7-Eleven, yang akan tiba dalam masa 30 minit.

“Pada masa ini, Foodpanda Shops mempunyai lebih daripada 3,500 peruncit dan pembekal yang bukan sahaja menjual barangan dapur dan keperluan rumah malah beraneka makanan dan minuman ringan,” katanya.

Pandamart pula kata Sayantan, menawarkan servis penghantaran barangan pasar raya besar sehingga ke pintu rumah dalam masa 35 minit sahaja.

“Ia berbeza daripada perkhidmatan Foodpanda Shops kerana barang-barang ini diedar terus oleh Foodpanda dari gudang sendiri.

“Pandamart kini boleh didapati di lebih daripada 31 lokasi di seluruh negara dan kami sedang berusaha untuk memperluaskan perkhidmatan kami ke seluruh negara pada tahun ini termasuklah perkhidmatan penghantaran makanan kami, Foodpanda dan Foodpanda shops,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373