Gaji premium: Kebanyakan graduan tak penuhi jangkaan majikan – MEF

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kebanyakan graduan masih belum memenuhi jangkaan keperluan majikan di negara ini untuk mendapat gaji sekurang-kurangnya RM4,000 atau gaji premium sebulan.

Presiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata tiada halangan untuk majikan memberikan lingkungan gaji berkenaan namun graduan mestilah memenuhi ciri diinginkan seperti mempunyai kemahiran teknikal dan insaniah.

Katanya, walaupun pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan mungkin berbeza antara pekerjaan, majikan umumnya ingin mencari kedua-dua kemahiran terbabit sekali gus menjadi ‘markah tambah’ kepada graduan untuk ditawarkan bekerja.

“Selain kemahiran utama yang relevan dengan fungsi pekerjaan, graduan hendaklah melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah seperti pengurusan masa, kemahiran organisasi, kemahiran komunikasi lisan dan kemahiran bertulis terutamanya dalam bahasa Inggeris serta mampu bekerja secara berpasukan yang cemerlang.

“Kemahiran penyelesaian masalah yang kreatif, pemikiran kritis dan analitikal serta kebolehsuaian adalah antara kemahiran penting yang majikan harapkan daripada graduan baharu.

“Ini kerana majikan mencari graduan yang boleh terus menyumbang kepada pertumbuhan syarikat dan kebanyakan majikan pada masa ini tidak mempunyai masa dan peruntukan untuk melatih graduan baru,” katanya kepada BH, hari ini.

Media melaporkan beberapa sektor termasuk halal, kewangan, perbankan, pengangkutan dan audit standard berpotensi untuk ditawarkan gaji premium kepada graduan baharu iaitu sekurang-kurangnya RM4,000.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata potensi berkenaan sedang diteliti oleh kementeriannya bersama industri berkaitan susulan kejayaan projek perintis tawaran gaji premium dalam sektor elektrik dan kejuruteraan.

Katanya, projek perintis itu berjaya apabila melahirkan 40 graduan yang memperoleh gaji premium atau RM4,000.

Sementara itu, Syed Hussain berkata ketika alam pekerjaan bergerak pantas dengan Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan kecerdasan buatan (AI), institusi pengajian tinggi (IPT) hendaklah menerima pakai kaedah pengajaran yang lebih praktikal bagi menyediakan pelajar menghadapi dunia pekerjaan dan keperluan kemahiran yang sentiasa berubah.

“Ada keperluan mendesak untuk menyediakan pelajar untuk industri, terutamanya yang memerlukan menggunakan kreativiti mereka untuk memanfaatkan maklumat daripada pelbagai sumber.

“Pembelajaran ke arah IR4.0 memerlukan anjakan paradigma yang menerapkan pendekatan yang diterajui permintaan pasaran kerja dan penting untuk mewujudkan kerjasama antara IPT dan sektor swasta.

“Majikan bersedia membayar gaji premium RM 4,000 untuk graduan yang memenuhi keperluan yang dicari oleh majikan. Majikan tidak teragak agak membayar gaji permulaan sedemikian asalkan mereka mempunyai kemahiran tinggi dari segi teknikal dan insaniah terutamanya mereka yang mempunyai kemahiran berbagai dan mampu membuat kerja pelbagai,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373