Hampir RM3,000 makan semeja dengan Terry

Estimate Reading Time: < 1 minute

LONDON: John Terry mempertahankan tindakannya mengenakan bayaran sehingga £500 (RM2,924) kepada peminat bagi menjamu selera bersamanya dan £100 (RM585) untuk tandatangan, dengan mengatakan semua wang yang dikumpul akan disalurkan kepada badan kebajikan.

Legenda Chelsea itu menerima kecaman kerana meminta penyokong membayar yuran tambahan selain tiket berharga £25 (RM146) untuk menyertai jelajah individunya.

Tampil di Basingstoke, Birmingham, Bournemouth dan London dalam kembaranya, Terry berkata setiap sen yang dikumpul akan disalurkan kepada Yayasan John Terry 26, yang membantu badan kebajikan berbeza.

Sebagai sebahagian daripada ‘pakej penajaan’ £5,000 (RM29,247), individu boleh membuat sumbangan £500 untuk mendapat tempat duduk di meja, yang mana 10 orang akan makan bersama bekas pemain berusia 42 tahun itu.
Terry menjelaskan, beliau tidak mahu menghebahkan mengenai wang itu untuk badan kebajikan.

“Hai kawan-kawan, hanya ingin menyentuh cerita yang ditulis akhbar mengenai saya mengenakan bayaran £100 kepada peminat untuk tandatangan dan gambar dan minuman atau apa sahaja yang mungkin,” katanya dalam video di Instagram.

“Perkara besar – dan ini sangat penting – perkara besar yang mereka lupa sebut ialah semua hasil daripada acara yang saya lakukan ini – dan satu-satunya sebab saya mendaftar – adalah untuk mengumpul wang bagi yayasan saya, Yayasan John Terry 26.

“Saya menubuhkan yayasan saya kira-kira tujuh atau lapan bulan lalu kerana saya mahu melakukan sesuatu secara peribadi dan sendiri yang mana saya akhirnya akan menganjurkan majlis makan malam gala, acara golf sepanjang tahun, apa saja peluang untuk mengumpul wang bagi yayasan saya.”

Terry tampil pada kejohanan Pro-Am Selebriti di Kelab Golf Wentworth bersama Gareth Bale dan Jermaine Jenas semalam.

Beliau menjaringkan gol ketika kemenangan 4-0 pasukan Legenda Chelsea mengatasi Legenda Bayern Munich minggu lalu, perlawanan yang diadakan bagi mengenang mendiang Gianluca Vialli.
– AGENSI
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373