MFL bantu jelaskan tunggakan gaji Sarawak United, Melaka United

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Sarawak United (SU) dan Melaka United (MU) boleh menarik sedikit nafas lega selepas tunggakan gaji dihadapi mereka bakal ‘dibayar’ Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan badan pengendali liga itu akan menyalurkan sebahagian amaun daripada hak penyiaran kepada pemain kedua-dua pasukan yang terkesan dengan isu tunggakan gaji.

“Ahli Lembaga Pengarah meluluskan keputusan ini pada penghujung Jun lalu dan ia akan disalurkan secara terus kepada pemain dan bukannya kepada pasukan.

“Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sudah memberikan senarai nama pemain dan kita juga akan ada senarai jurulatih pada minggu ini.

“Sudah tentu ia tidak dapat menyelesaikan masalah ini tetapi ia memberikan sedikit kelegaan kepada pemain. Isu ini tidak membabitkan MFL tetapi majikan mereka dan kita harap dapat diselesaikan pada minggu ini,” kata Stuart.

Dalam masa sama, Stuart juga memaklumkan pemangku Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) Datuk Ong Kim Swee mengadakan pertemuan dengannya dan akan berbincang untuk mencari jalan terbaik menjaga kebajikan jurulatih.

“Dia (Kim Swee) ada berhubung dengan saya dan kita mencari jalan untuk mencari kebajikan jurulatih dan juga kes membabitkan B Satianathan. Kita akan berbincang ketika jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) nanti.

“Kita mahu ia selari dengan apa yang PFAM lakukan untuk pemain dan kita akan melakukan proses yang sama,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373