Hampir semua negeri catat kadar kebolehjangkitan melebihi nilai kebangsaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis mencatat kadar Rt melebihi nilai kebangsaan 1.07, semalam.

Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam Twitter beliau, kadar Rt di Sarawak dan Sabah turut mencatat nilai melebihi nilai Rt kebangsaan itu.

Semalam, Labuan mencatat kadar Rt tertinggi iaitu 1.55 walaupun jumlah jangkitan kes baharu harian COVID-19 menunjukkan sedikit penurunan daripada 166 kes kelmarin kepada 162 kes.

Kadar Rt di Sabah juga didapati tinggi dengan 1.26, diikuti Melaka (1.23) dan Negeri Sembilan (1.22).

Negeri lain yang mencatat kadar Rt melebihi nilai Rt 1.07 ialah Kelantan, Putrajaya dan Perak (1.15), Pahang (1.13), Kuala Lumpur (1.12), Kedah dan Terengganu (1.11), Pulau Pinang (1.10), Selangor dan Sarawak (1.09).

Kadar Rt yang dicatatkan negeri Johor pula adalah 1.08. manakala Perlis pada kadar kosong apabila tiada sebarang jangkitan COVID-19 baharu direkodkan, semalam.

Semalam, Malaysia merekodkan 7,105 kes jangkitan baharu COVID-19, selepas dua hari berturut-turut jumlah kes mencatat penurunan iaitu 6,824 kes, kelmarin dan 6,999 kes pada Ahad lalu.

Sabtu lalu, Malaysia sekali lagi merekodkan angka harian tertinggi jangkitan baharu COVID-19 dengan 9,020 kes.

Jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di seluruh negara kini mencecah 579,462 kes dengan 2,867 kematian.

Negara semalam melaksanakan sekatan pergerakan penuh fasa pertama selama dua minggu sebagai langkah melandaikan semua keluk penularan COVID-19 yang kembali melonjak sejak awal April lalu.

Sepanjang tempoh penutupan penuh itu, semua aktiviti sosial adalah dilarang manakala bagi sektor ekonomi pula, hanya sebahagian kecil sahaja dibenarkan beroperasi.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373