Hanya 52 peratus pekerja asing aktif carum PERKESO

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Hanya 1.2 juta pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini, aktif mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed, berkata jumlah itu mewakili 52 peratus daripada keseluruhan 2.3 juta pekerja asing berdaftar di bawah perlindungan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Selain itu, katanya, hanya 573,390 daripada hampir 1.5 juta majikan, membabitkan 9.31 juta pekerja yang berdaftar menerusi Akta 4 sehingga 31 Mac lalu, aktif mencarum, sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan.

“Setakat ini, seramai 28,808 pekerja domestik didaftarkan majikan dan mencarum sejak perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja domestik diperkenalkan pada 1 Jun 2021.

“Sebanyak 8,734 notis kompaun membabitkan nilai sebanyak RM2.67 juta dikeluarkan kepada majikan gagal mendaftar perusahaan dan pekerja mereka, selain sebanyak 9,276 kes mengikut Akta 4 dan Akta Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) didakwa di mahkamah, sejak 2019 hingga 2022.

“Namun, kita percaya masih ada majikan menggajikan pekerja yang masih belum mendaftar dan mencarum dengan ia berdasarkan aduan dan maklumat diterima daripada tenaga buruh dan orang awam melalui pelbagai saluran,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, John Riba Marin dan Ketua Bahagian Caruman dan Penguatkuasaan PERKESO, Jazlina Alias.

Sementara itu, Mohamed Azman berkata, PERKESO julung kalinya memanjangkan tempoh penganjuran Bulan Pemutihan sebelum pelaksanaan Ops Kesan 2023 kepada dua bulan, mulai 1 Mei hingga 30 Jun ini.

Katanya, ia bertujuan memberi majikan peluang dan ruang secukupnya untuk mendaftarkan pekerja yang digajikan untuk operasi perniagaan di bawah skim perlindungan sosial susulan perkembangan ekonomi pasca pandemik COVID-19.

Beliau berkata, pengecualian pengkompaunan, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) akan diberi kepada majikan sepanjang tempoh berkenaan, walaupun sudah melewati had ditetapkan bagi mendaftar dan mencarum.

“Kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka adalah kesalahan yang boleh dikompaun dan didakwa dengan jumlah kompaun boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan dilakukan.

“Majikan juga akan dikenakan FCLB pada kadar enam peratus setahun bagi setiap hari caruman lewat fibayar ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman PERKESO.

“Majikan juga boleh dikenakan denda hingga RM10,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Mohamed Azman juga menasihatkan semua majikan yang layak dan masih belum mendaftar dan mencarum supaya segera berbuat demikian secara sukarela menerusi portal ASSIST, hadir ke pejabat PERKESO di seluruh negara atau menghubungi talian 1-300-22-8000.

“Semua majikan menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tanpa mengira jumlah gaji perlu mendaftarkan perusahaan dan pekerja, mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 5 Akta 4 serta Seksyen 14 dan Seksyen 16 Akta 800.

“PERKESO tidak akan berkompromi dengan ketidakpatuhan majikan dan tiada lagi pengecualian tindakan penguatkuasaan akan dipertimbangkan jika masih gagal berbuat demikian sepanjang tempoh pemutihan berkenaan.

“Seterusnya, lebih 500 pegawai PERKESO akan digerakkan bagi Ops Kesan 2023 untuk memastikan pekerja di negara ini mendapat perlindungan keselamatan sosial yang akan diadakan mulai Julai depan,” katanya.

Mengenai Ops Kesan 2023, beliau berkata, ia dibuat bagi mengenal pasti majikan yang gagal mendaftar dan mencarum dengan PERKESO bagi memastikan setiap pekerja yang layak menerima perlindungan keselamatan sosial.

“Ia demi kesejahteraan mereka (pekerja), sekiranya ditimpa sebarang musibah yang tidak dijangka, selain selaras kerangka Malaysia Madani yang menekankan keterangkuman serta mengutamakan pembangunan mampan, sejahtera dan bersifat insan,” katanya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373