Honda perkenal City versi dipertingkatkan, harga bermula RM84,900

Estimate Reading Time: 3 minutes

CHERAS: Honda Malaysia melancarkan model dipertingkat, Honda City baharu yang ditawarkan pada harga bermula RM84,900.

Didatangkan dengan lima varian pilihan termasuk RS baharu, Honda City 2023 menerima rekaan yang lebih segar merangkumi gaya luaran yang menonjol dan fungsi canggih bagi meningkatkan keselesaan serta praktikaliti pelanggan.

Lima varian terbabit ialah S yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM84,900; E dari RM89,900; V bermula RM94,900; Petrol RS dari RM99,9000; dan e:HEV RS bermula RM111,900.

Ciri luaran sporty lain dari New City termasuk bampar hadapan dan belakang baharu dan roda aloi dwi-tona 16 inci baharu.

Bagi varian Petrol RS dan e:HEV RS, dimensi kini lebih panjang dengan reka bentuk bampar yang diperbaharui berukuran 4,589 (milimeter) panjang manakala varian S, E dan V adalah 4,580 mm panjang.

Varian RS pula dilengkapi dengan rangkaian kuasa 1.5L e:HEV yang menghasilkan output maksimum 109PS dan tork 253Nm, terbaik dalam kelasnya.

Sementara itu, enjin 1.5 DOHC i-VTEC dari City baharu mampu memberikan kuasa maksimum 121PS dan tork maksimum 145Nm.

Untuk memberikan pelanggan pengalaman pemanduan yang menarik dan sporty, Paddle Shift kini didatangkan sebagai standard dalam semua varian Petrol.

Varian e:HEV RS dilengkapi dengan Paddle Selector Deceleration yang membolehkan pemandu menggunakan paddle shift untuk penjanaan semula kuasa dan memecut kenderaan tanpa menekan pedal brek.

Menyentuh aspek dalaman, varian Petrol RS dan e:HEV RS dilengkapi dengan Apple CarPlay dan Android Auto Wireless Connectivity serta meter TFT 7-inci.

Kecuali untuk varian S, semua varian lain berkongsi ciri baharu yang dinaik taraf, iaitu 8-pembesar suara, antara muka baharu untuk paparan audio, kamera pandangan belakang berbilang sudut yang dipertingkatkan dan port USB Belakang (type-C) baharu.

Seperti semua model Honda, City baharu dilengkapi dengan set ciri keselamatan Honda SENSING canggih iaitu ciri standard untuk semua varian yang terdiri daripada fungsi keselamatan Low Speed Follow (LSF) – untuk varian e:HEV RS sahaja; Lead Car Departure Notification (LCDN); Adaptive Cruise Control (ACC); Forward Collision Warning (FCW); Collision Mitigation Braking System (CMBS); Lane Keep Assist System (LKAS); Road Departure Mitigation (RDM); Lane Departure Warning (LDW); dan Auto High Beam (AHB).

Ciri keselamatan lain City baharu termasuk 6-beg udara dan Walk Away Auto Lock yang didatangkan sebagai standard untuk semua varian.

New City Petrol RS dan e:HEV RS pula menerima sambungan telefon pintar dengan Honda CONNECT sebagai ciri lanjutan standard.

Dalam usaha untuk menawarkan lebih nilai, pelanggan kini mempunyai pilihan untuk melengkapkan City baharu mereka dengan Honda CONNECT untuk varian bukan RS dengan tawaran istimewa RM1,500 sehingga Januari 2024.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura, berkata, sejak model City diperkenalkan pada 2002, kini terdapat lebih 423,000 unit di jalan raya Malaysia.

Katanya, City generasi ke-5 yang diperkenalkan pada 2020 meningkatkan lagi tahap segmen B selepas Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melancarkan varian e:HEV RS.

“Honda Malaysia menyasarkan untuk menjual 2,400 unit City baharu sebulan selepas pelancarannya.

“Untuk terus menawarkan pelanggan kami dengan tawaran nilai dan ciri, City baharu akan tersedia dalam dua varian RS iaitu e:HEV RS dan Petrol RS, di mana pelanggan akan mempunyai lebih banyak pilihan berdasarkan keperluan dan permintaan mereka.

“Reka bentuk RS yang unik di City baharu menampilkan gril depan Honeycomb baharu, gril bawah depan baharu, peresap belakang baharu, skirting sisi baharu dan lambang “RS” yang direka bentuk baharu,” katanya ketika melancarkan Honda City baharu di sini, hari ini.

City baharu ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Meteoroid Grey Metallic dan Crystal Black Pearl.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373