Honda serah 2,200 model WR-V baharu dalam masa sebulan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia sudah menyerahkan 2,200 unit model WR-V serba baharu dalam tempoh sebulan sejak pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) kecil pada Julai lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura, berkata WR-V serba baharu menjadi model kedua terlaris dalam barisan jenama Honda pada Julai.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan atas kepercayaan mereka terhadap jenama Honda dan sokongan untuk WR-V serba baharu, yang menjadi model SUV kecil bukan nasional.

“Sejak dilancarkan, model ini telah diterima baik di pasaran dan mencapai prestasi jualan yang luar biasa dengan varian RS menjadi penyumbang terbesar 60 peratus dari jumlah jualan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain pengumuman penyerahan model WR-V, Honda Malaysia juga meraikan pelanggan pertama yang mendaftar tempahan model berkenaan pada majlis penyerahan rasmi di Accord Auto Sdn Bhd awal bulan ini.

Pelanggan pertama yang memiliki WR-V ialah Nurain Mohamad dengan Honda Malaysia turut menghadiahkan aksesori Honda, salutan badan kaca ultra dan barangan rasmi Honda bernilai RM5,000.

Sementara itu, Honda Malaysia berkata, untuk memastikan ketenangan fikiran bagi pemandu dan penumpang, WR-V serba baharu dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termaju, antaranya ialah Honda LaneWatch, yang menjadi ciri standard untuk semua varian.

Ia turut didatangkan dengan teknologi Honda SENSING yang mempunyai lapan fungsi keselamatan termaju.

Selain itu, varian RS dilengkapi dengan Honda CONNECT, yang membolehkan ketersambungan ke kereta dari mana-mana sahaja pada bila-bila masa melalui telefon pintar pemilik.

Teknologi terbabit boleh meningkatkan aspek keselamatan dan kemudahan yang lebih baik kepada pemilik WR-V serba baharu.

Selain itu, WR-V serba baharu juga hadir dengan aspek keselamatan menerusi pelbagai fungsi berguna, termasuk Automatic Collision Detection, Security Alarm Detection, Speed Alert, Find My Car, Geo-fencing Alert dan Emergency Call.

Pelanggan boleh menghidupkan enjin kereta dari jauh, mengunci dan membuka kunci pintu serta melaraskan penyaman udara semuanya daripada aplikasi telefon pintar.

Honda WR-V serba baharu memiliki bahagian luaran yang menarik dengan Gril Gaya Mesh dengan krom perak dan hiasan bawah dicat perak.

Reka bentuk hadapan RS turut menampilkan lampu utama LED automatik dan isyarat membelok berurutan LED depan, yang menambah sentuhan moden pada estetika SUV kecil itu.

WR-V serba baharu dikuasakan oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang menjana output kuasa maksimum 121PS dan tork 145Nm.

Selain menawarkan kecekapan bahan api yang sangat baik, SUV kecil ini memberikan pecutan lancar dan prestasi responsif, menjadikannya sesuai untuk memandu di jalan biasa dan lebuh raya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373