Inisiatif RM200 untuk peniaga e-bazar Makmur Johor

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengumumkan insentif geran galakan perniagaan RM200 seorang kepada peniaga yang berdaftar sebagai peniaga e-bazar dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan di kawasan luar bandar untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil berkata, sehingga kini terdapat 10,357 peniaga bazar berdaftar dalam kawasan PBT dan dijangkakan lebih 5,000 daripadanya akan menerima manfaat berkenaan.

“Kerajaan negeri melantik dua penyedia sistem iaitu eBAZARA dan Getmakan untuk menguruskan inisiatif ini. Sistem yang dibangunkan ini membantu sinergi yang holistik terhadap peniaga, pembeli dan penghantar makanan bagi menggantikan pelaksanaan Bazar Ramadan konvensional.

“Untuk menerima inisiatif ini, peniaga hendaklah berdaftar dengan platform yang disediakan kerajaan Johor iaitu eBAZARA atau Getmakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayub berkata, bagi peniaga di luar bandar seperti Felcra atau Felda yang bukan di bawah pentadbiran PBT, peniaga terlibat akan dikenal pasti dan diselaraskan di bawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar melalui Pejabat Daerah.

Berhubung pemberian insentif itu, beliau berkata, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipatuhi untuk membolehkan peniaga menerimanya.

Pertama katanya, peniaga harus mematuhi syarat ditetapkan PBT iaitu mendapatkan suntikan typhoid termasuk mereka yang berada di luar bandar dan kawasan kampung selain harus mempunyai sijil pengendalian makanan yang diperakui.

“Pemohon juga harus berdaftar dengan syarikat penyedia perkhidmatan yang disahkan Perbadanan Usahawan Johor Berhad (PUJB) dan telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya tujuh hari sepanjang Ramadan,” katanya.

Menurutnya, pemberian insentif itu hanya sekali untuk seorang peniaga walaupun telah berdaftar dengan lebih satu syarikat penyedia perkhidmatan.

“Peniaga juga haruslah mempunyai akaun bank sah atas nama peniaga yang mana berdaftar dengan pihak PBT. Bagaimanapun, pemohon yang tidak mempunyai akaun juga boleh mendapatkan bayaran insentif secara tunai menerusi PBT dan Pejabat Daerah masing-masing,” katanya.

Katanya, dengan adanya kemudahan itu kerajaan negeri berharap rakyat boleh menikmati juadah berbuka Ramadan dengan membuat tempahan atas talian terus daripada peniaga.

-Sinar Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373