Inter Miami, Messi mulakan liga 21 Februari

Estimate Reading Time: < 1 minute

NEW YORK: Kelab Lionel Messi, Inter Miami akan menerima kunjungan Real Salt Lake pada 21 Februari depan bagi memulakan hari pembukaan musim baharu Major League Soccer (MLS) seperti yang diumumkan hari ini.

Musim ke-29 liga Amerika Utara itu akan menampilkan sepak mula paling awal bagi mana-mana kempen MLS ketika pemenang Ballon d’Or lapan kali Messi, yang mengemudi Argentina memenangi kejuaraan Piala Dunia 2022, memulakan musim penuh pertamanya bersama skuad dari Florida itu.

Aksi pertama Messi di gelanggang lawan bagi kempen 2024 hadir empat hari kemudian apabila Inter Miami bertandang ke Los Angeles Galaxy pada 25 Februari.

Setiap pasukan MLS akan bermain 34 perlawanan, masing-masing 17 di gelanggang sendiri dan lawan, dengan penampilan Messi bersama Inter Miami di semua gelanggang MLS dijangka menarik penonton yang ramai selain harga tiket jualan semula yang mahal.

Miami akan berkunjung ke semua 14 pencabar Eastern Conference sepanjang musim, dengan yang pertama hadir pada 16 Mac apabila Inter bertemu DC United di Washington.

Miami turut dijadual bertandang ke semua tiga pasukan Kanada dalam MLS, berdepan Montreal pada 11 Mei, Vancouver pada 25 Mei dan Toronto pada 5 Oktober.

Perlawanan terakhir Inter Miami dijadual pada 19 Oktober di laman sendiri menentang New England pada hari terakhir musim biasa MLS.

Final Piala MLS 2024 akan diadakan pada 7 Disember.

Messi mengemudi Inter Miami menjuarai kejohanan sulung Piala Liga-Liga, pertandingan seperti format Piala Dunia menampilkan kelab MLS dan liga Mexico yang akan diadakan sekali lagi dari 26 Julai hingga 25 Ogos tahun depan.

– AFP

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373