Israel kembali serang utara Gaza

Estimate Reading Time: 2 minutes

GAZA: Kereta kebal Israel sejak semalam bertindak menyerbu kembali bahagian utara Semenanjung Gaza yang dikosongkan minggu lalu, kata penduduk setempat.

Tindakan itu meningkatkan semula ketegangan di wilayah yang menyaksikan beberapa pertempuran paling sengit sejak tahun baharu bermula, sehingga Israel mengumumkan pihaknya mengurangkan operasi di sana.

Namun, letupan besar boleh dilihat di kawasan utara Gaza dari seberang sempadan dengan Israel, walaupun regim Zionis sudah mengumumkan pengunduran pasukan tenteranya sejak dua minggu lalu.

Walaupun Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan peralihan kepada operasi yang lebih kecil dan bersasar, pada hakikatnya ia tidak berlaku, sebaliknya bunyi tembakan bergema merentasi sempadan sepanjang malam.

Menjelang pagi, jejak asap peluru berpandu kelihatan di langit ketika pertahanan udara Iron Dome Israel menembak jatuh roket yang dilancarkan Hamas melepasi pagar.

Tindakan itu turut membimbangkan Israel kerana membuktikan Hamas masih mengekalkan keupayaan untuk melancarkan roket walaupun sudah lebih 100 hari berperang.

Israel berkata tenteranya membunuh berpuluh-puluh pejuang Hamas semalaman dalam pertempuran di Beit Lahiya di pinggir utara Gaza.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata, dalam tempoh 24 jam lalu, pengeboman Israel mengorbankan 158 orang di enklaf Palestin.

Ini meningkatkan jumlah korban perang, yang kini memasuki bulan keempat, kepada 24,285, dengan ribuan lagi mayat dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan.

Di bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan korban awam, Israel berkata pihaknya sedang beralih daripada serangan darat berskala penuh kepada operasi bersasar terhadap pejuang Hamas yang mengawal kawasan itu.

Ia memulakan peralihan itu dengan pengunduran tentera di bahagian utara.

Isnin lalu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata serangan darat yang terbaharu di selatan semakin hampir berakhir.

Tetapi untuk meredakan perang masih kelihatan sebagai cabaran yang sukar, dengan Israel berkata ia tidak akan berehat sehingga Hamas dihapuskan dan pejuang tidak menunjukkan daya untuk menentang.

Tentera Israel bertempur menuju ke pusat bandar utama selatan Gaza Khan Younis dan ke bandar-bandar di utara dan timur bandar tengah Deir al-Balah.

– REUTERS

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373