Israel terus bom Gaza ketika Blinken adakan rundingan damai

Estimate Reading Time: 2 minutes

GAZA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, berkata, konflik Israel-Hamas ‘tidak merebak’ di seluruh Asia Barat, walaupun serangan Israel ke atas selatan Gaza sudah melebihi tiga bulan.

Di Kaherah, Blinken bertemu Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, yang turut memainkan peranan selaku orang tengah dalam usaha menamatkan perang yang bermula susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

“Saya tidak fikir konflik semakin meningkat kerana pihak berkepentingan serantau tidak mahu perkara itu berlaku,” kata diplomat tertinggi itu kepada pemberita.

Keganasan yang membabitkan kumpulan berkuasa Lubnan, Hizbullah dan kumpulan bersenjata lain yang disokong Iran di Iraq, Syria dan Yaman meningkat sejak awal Oktober, sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik semakin meluas.

Hizbullah yang juga sekutu Hamas dan sering berbalas tembakan dengan tentera Israel sejak permulaan perang, berkata serangan Israel di selatan Lubnan semalam mengakibatkan dua pegawai perubatan terkorban.

Hizbullah mengumumkan pihaknya melancarkan roket di utara Israel sebagai tindak balas, dengan tentera Israel berkata, mereka menyerang kawasan sasaran Hizbullah dan ‘beberapa kawasan di wilayah Lubnan’.

Dalam pada itu, ketegangan turut meningkat di Laut Merah, yang mana serangan oleh pemberontak Yaman yang disokong Iran mengakibatkan gangguan terhadap aktiviti perkapalan di laluan maritim yang penting.

Selepas tentera AS dan Britain memaksa kumpulan Houthi menghentikan serangan, ketua gerakan pemberontak itu, Abdulmalik al-Huthi, memberi amaran bahawa sebarang ‘pencerobohan’ akan dibalas dengan tindak yang lebih ‘lebih hebat’.

Peperangan bermula apabila Hamas melancarkan serangan menyasarkan Israel pada 7 Oktober lalu, menyebabkan kira-kira 1,140 kematian direkodkan di Israel, kebanyakannya membabitkan orang awam.

Hamas turut menahan kira-kira 250 orang tebusan. Menurut Israel, 132 orang tebusan kekal di Gaza, termasuk sekurang-kurangnya 25 orang yang dipercayai telah terbunuh.

Israel bertindak balas dengan kempen ketenteraan tanpa henti yang menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, meragut nyawa sekurang-kurangnya 23,469 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Israel berkata, 186 askarnya terkorban di Gaza sejak operasi ketenteraan darat dilancarkan pada penghujung Oktober lalu.

Sementara itu, PBB menganggarkan 1.9 juta penduduk Gaza menjadi pelarian di negara sendiri akibat perang yang berlarutan.

– AFP

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373