Jepun lepaskan air terawat loji nuklear Fukushima ke laut

Estimate Reading Time: < 1 minute

TOKYO: Kerajaan Jepun meluluskan rancangan melepaskan lebih satu juta tan air terawat daripada loji nuklear Fukushima.

Perdana Menteri Yoshihide Suga menegaskan pelepasan air terawat itu sebagai selamat kerana diproses untuk menyingkirkan hampir semua unsur radioaktif.

“Kerajaan Jepun mematuhi dasar penting untuk melepaskan air terawat itu ke laut selepas memastikan tahap keselamatan air berkenaan.

“Kerajaan juga mengambil langkah perlu untuk mencegah sebarang kemungkinan berlaku kemusnahan atau kerosakan,” katanya kepada media.

Rancangan Jepun itu mendapat sokongan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang berkata proses itu menyamai menyingkirkan sisa air daripada loji nuklear di tempat lain di dunia.

Kira-kira 1.25 tan air terkumpul di loji nuklear terbabit yang lumpuh selepas tsunami pada tahun 2011 akibat kesan gempa bumi.

Bagaimanapun, keputusan terbaru itu mencetuskan bantahan daripada komuniti nelayan Jepun selain mewujudkan kebimbangan kepada China dan Korea Selatan.

Korea Selatan melahirkan kekecewaan dengan keputusan Jepun itu kerana dibimbangi memberi kesan langsung atau tidak langsung kepada manusia dan alam sekitar pada masa depan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata, negara itu menggesa Jepun lebih bertanggungjawab menguruskan proses menyingkirkan air terawat dari loji berkenaan.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373