Jual tiket konsert Coldplay RM43,000 keterlaluan – Fahmi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti tindakan berkaitan iklan jualan semula tiket Coldplay pada harga terlalu tinggi di media sosial.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini, berkata beliau bercadang untuk membincangkan perkara itu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Ini keterlaluan – isu tiket di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Insya-Allah saya bangkitkan dengan menteri Salehuddin Ayub,” katanya dalam hantaran Twitter beliau, hari ini.

Dalam ciapan itu, Fahmi turut berkongsi tangkap layar daripada laporan berita, menyatakan harga tiket Coldplay yang dijual semula terlalu tinggi sehingga mencecah RM43,000.

Fahmi menegaskan, harga tiket konsert dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Terdahulu, peminat Coldplay meluahkan kekecewaan mereka di Twitter selepas berdepan kesukaran mendapatkan tiket konsert kumpulan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan.

Konsert kumpulan muzik tersohor dari United Kingdom itu mendapat sambutan luar biasa sebaik dibuka untuk jualan kepada umum pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa individu dipercayai kumpulan ‘scalper’ atau pembeli tiket hantu menjual semula tiket konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November depan dengan harga mencecah RM43,200.

Difahamkan, tiket tempat duduk kategori 1 berharga RM1,288 seperti tertera dalam laman web rasmi GoLive-Asia. Namun, kumpulan ‘scalper’ mengambil kesempatan dengan menjual tiket berkenaan dengan harga yang tidak masuk akal.

Mengikut individu menjual tiket, sasarannya hanya untuk mereka berkemampuan, manakala pertukaran dengan motosikal tidak diterima.

Sehubungan itu, peminat kumpulan rock popular dari British itu memohon kumpulan ‘scalper’ dibanteras. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373