Jualan Rahmah bergerak pastikan lebih ramai golongan sasar terima manfaat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Jualan Rahmah Bergerak antara inisiatif dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan lebih ramai golongan sasar menerima manfaat daripada program itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata program itu mendapat sokongan penuh daripada industri dalam bentuk van, lori atau treler yang digunakan untuk menjual barangan keperluan ke lokasi penduduk.

“Menerusi Jualan Rahmah Bergerak, kementerian tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran untuk penggunaan lori itu termasuk perbelanjaan untuk petrol atau mengupah pemandu memandangkan inisiatif ini ialah private-driven.

“Maknanya bukan hanya pada barang tetapi pengusaha itu sendiri telah merahmahkan dirinya jadi kita boleh bayangkan dengan harga Rahmah dan juga lori itu tak disewa, pemandu tidak digaji, itu semua membantu kepada kejayaan Jualan Rahmah Bergerak ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, kementerian berkenaan akan melihat kaedah untuk meneruskan dan memperluas Jualan Rahmah Bergerak ke kawasan pedalaman pada masa akan datang.

Selain itu, beliau berkata, bermula 16 Jun lalu, Jualan Rahmah dilaksanakan di 640 Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding hanya di peringkat Parlimen sebelum ini bersempena sambutan Aidiladha.

“Kita telah menumpukan lagi di kawasan DUN supaya lokasi itu lebih mendasari dan menyentuh rakyat di kampung-kampung pedalaman,” katanya.

Selain Jualan Rahmah Bergerak, beliau berkata, program Jualan Rahmah turut dilaksanakan menerusi dua kaedah lagi iaitu penjualan di premis yang sesuai seperti pasar raya atau pasar raya besar serta jualan di lapangan atau balai raya berhampiran kawasan terbabit.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kekurangan bekalan barangan termasuk gula menjelang musim perayaan Aidiladha minggu ini.

“Saya akui dalam dua hingga tiga minggu lepas ada aduan tentang kekurangan gula, itu kita atasi dengan cepat. Kalau ada lokasi tertentu dilaporkan (kekurangan bekalan) kepada kita, dalam masa 24 jam kita dapat selesaikan.

“Tetapi setakat tengah hari ini belum kedengaran lagi aduan mengenai kekurangan barangan dan tujuh hari berturut-turut tiada aduan tentang kekurangan gula,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin berharap lebih banyak geran dapat diperuntukkan kepada kementerian itu pada Belanjawan akan datang supaya program Jualan Rahmah dapat diluaskan.

– BERNAMA

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373