KAFA kena berdoa

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Adakah Kelantan akan mendapat talian hayat tambahan masa atau terus dihukum potong mata akibat isu tunggakan gaji?

Persoalan itu timbul selepas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) didakwa gagal mematuhi perjanjian persetujuan bersama pemain dan pegawai pasukan dalam membuat pembayaran ansuran membabitkan tunggakan gaji.

Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi ketika dihubungi BH Sukan, semalam mengesahkan dia tidak menerima bayaran ansuran tunggakan gaji daripada KAFA selepas kali terakhir, Mac lalu.

“Kalau diikutkan saya bersimpati dengan nasib yang diterima KAFA dan jika ditolak mata, ia akan merugikan pasukan. Namun, itu perjanjian yang mereka buat dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan mereka kena terima,” katanya.

Selain Kelantan, Melaka United dan PDRM juga berada dalam senarai pasukan yang dipantau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan penyelesaian tunggakan gaji dengan tarikh akhir yang diberikan berakhir, semalam.

Namun, PDRM yang sudah dikenakan pemotongan tiga mata pada awal tahun ini dilihat akan terlepas daripada sebarang hukuman selepas mereka dilaporkan sudah berjaya menyelesaikan semua masalah tunggakan gaji.

Sekiranya keputusan potong mata diambil, Kelantan mungkin ditolak tiga mata kerana ini adalah kesalahan pertama mereka.

Berbeza pula dengan Melaka United, jika mereka didapati melanggar perjanjian persetujuan bersama pemain dan pegawai pasukan, ia akan menjadi kesalahan kedua dan boleh ditolak enam mata.

Untuk rekod, First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM sudah mengenakan hukuman pemotongan tiga mata ke atas Melaka United pada Mac lalu selepas gagal mematuhi perjanjian itu dan ia dianggap kesalahan pertama mereka.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan FIB yang juga badan bebas akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan terutama selepas tarikh yang diberikan berakhir semalam.

“Ada beberapa kemungkinan, sama ada diberi tambahan masa atau ditolak mata terus atau sebagainya. Ia terpulang kepada keputusan FIB dan mereka mengambil kira semua aspek termasuk kesan dari COVID-19.

“Malah, FIB memahami ada pasukan yang mengalami perubahan dalam tampuk kepimpinan persatuan negeri,” kata Stuart.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373